Berita

Kedudukan teruk dalam sains, matematik: Kenapa Muhyiddin membisu

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh terus membisu kerana rakyat Malaysia ingin tahu punca keputusan buruk pelajar negara ini dalam Kajian Aliran Dalam Sains dan Matematik Antarabangsa (TIMMS) 2011.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata Muhyiddin tidak sepatutnya “syok sendiri” apabila mendakwa Malaysia mempunyai sistem pendidikan lebih baik berbanding “negara maju” seperti Amerika Syarikat, Britain dan Jerman malah turut ketinggalan di belakang negara yang bukan dikategorikan “maju”.

Beliau juga kesal kerana Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran tidak peduli dengan fakta kajian TIMSS yang menunjukkan Malaysia ketiggalan jauh di belakang negara “kuasa besar” dalam matematik dan sains termasuk negara Asia seperti Singapura, Korea Selatan, Hong Kong, Taiwan dan Jepun.

“Malah terdapat juga kajian antarabangsa yang menunjukkan remaja 15 tahun di Singapura, Korea Selatan, Hong Kong dan Shanghai menunjukkan prestasi seolah-olah mereka melalui tiga tahun atau lebih persekolahan berbanding remaja 15 tahun Malaysia.

“Jika ini bukan keutamaan Muhyiddin, beliau sepatutnya meminta Perdana Menteri mengubah bidang tugas kementeriannya supaya tidak terus membahayakan masa depan generasi baru rakyat Malaysia serta potensi daya saing dan kehebatan negara ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, sepanjang minggu lalu, rakyat Malaysia menanti komen Muhyiddin mengenai pencapaian teruk pelajar Malaysia dalam TIMMS 2011 yang  mengecewakan rakyat Malaysia.

Sejak keputusan TIMSS 2011 diterbitkan 11 Disember lalu, Muhyiddin belum memberi komen mengenai keputusan TIMSS 2011 yang teruk menjunam tahap matematik dan sains menunjuukan Muhyiddin tidak komited atau berminat dengan tanggungjawabnya.

Katanya, hanya lapan bulan lalu, Muhyiddin mengejutkan rakyat Malaysia apabila mendakwa sistem pendidikan Malaysia lebih baik berbanding negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain dan Jerman.

Bagaimanapun, menurut Kit Siang, dakwaan Muhyiddin itu dipatahkan TIMSS 2011 kerana pada ujian matematik untuk pelajar gred lapan, Melaysia berada pada kedudukan ke-26 dengan 440 mata daripada 1,000 mata berbanding Amerika Syarikat yang berada pada kedudukan ke-9 dengan 509 mata sementara England kedudukan ke-10 dengan 507 mata.

Manakala bagi subjek sains, Malaysia berada kedudukan lebih rendah iaitu ke-32 dengan 426 mata berbanding England (ke-9) dengan 533 mata dan Amerika Syarikat (ke-10) dengan 525 mata.
“Bukan saja di bekalang Amerika, Britain dan Jerman, malah ketinggalan di belakang Israel, Hungary, Slovenia, Lithuania, Kazakhstan, Ukrain, Armenia, Romania, Emeriyah Arab Bersatu, Turki dan Lubnan,” katanya. – Roketkini.com.