Rencana

BN amal politik perkauman, PR perjuang kebaikan bersama

KALAU dibelek-belek berita semasa, makin kerap kedengaran berita sumbang membabitkan perkauman. Daripada politik menakut-nakutkan sewaktu Perhimpunan Agung UMNO 2012 bahawa akan berulangnya peristiwa 13 Mei sekiranya UMNO kalah. Sehingga yang terbaru kononnya berlaku rusuhan kaum di Sungai Petani yang diapi-apikan dengan tiupan khabar angin dan seruan perkauman. Apakah semua itu saling berkait rapat, adakah Sungai Petani medan ujikaji? Entahlah.

Yang pasti kita tidak dapat mengelak daripada bertanya, mengapa selepas 55 tahun merdeka,  dalam banyak perkara kita nampak masih ramai mahu melihat daripada sudut perkauman? Jika terdapat empat orang bertumbuk, dua daripada kaum A dan dua lagi daripada kaum B. Mengapa tidak melihat itu sebagai pergaduhan antara dua kumpulan samseng dan bukannya pergaduhan kaum? Sekiranya seorang pemilik perniagaan daripada kaum A menekan pekerja daripada kaum B. Mengapa tidak melihat itu penindasan kaum pemodal terhadap kaum pekerja dan bukannya penindasan kaum?

Perkauman sudah membarah lama dalam masyarakat. Meskipun di permukaan negara nampak seperti  iklan tahun melawat Malaysia, tetapi tiada siapa dapat nafikan di bawah kulit masyarakat kita ada barah perkauman yang perlu diubat. Amalan melihat sesuatu ikut kaca mata kaum bukan hal tersembunyi malah terang-terangan. Tengok saja politik kita memadai. Pemerintah di negara ini masih lagi terdiri dari perikatan parti politik berasaskan kaum, memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing. Akibatnya tidak semua parti di dalam perikatan pemerintah berdiri setara kerana pastinya ada kaum yang rasa lebih ‘tuan’ daripada yang lain.

Dapatkah kita nafikan perbezaan jelas perikatan pemerintah dan oposisi? Terang lagi bersuluh, teras parti di dalam perikatan Pakatan Rakyat (PR) bukanlah kaum. Oleh itu PR tidak nampak perlunya untuk mereka menjelajah serata negara mengapi-apikan kaum tertentu bagi meraih sokongan. Isu bersama PR selama ini konsisten membabitkan tadbir urus negara yang baik, membasmi rasuah, pemulihan institusi negara serta perpaduan rakyat Malaysia melalui prinsip keadilan, kesetaraan dan demokrasi. Dan semua itu merentas batas kaum.

PR tidak dapat bergerak dengan gaya perkauman kerana teras dan dasar setiap parti di dalam perikatannya bukan berasaskan kaum. Seperti mana perikatan pemerintah hari ini sukar untuk bergerak tanpa menyentuh persoalan kaum kerana teras dan dasar parti mereka adalah kaum.

Apabila PR berjuang untuk membela nasib rakyat yang tertindas, perjuangan mereka merentas kaum kerana rakyat tertindas itu ada di dalam mana-mana kaum. Apabila parti di kalangan perikatan pemerintah membela habis-habisan kaumnya, maka mereka akan membela bersama penindas kerana penindas itu adalah dari kaum mereka.

Parti berasaskan kaum di dalam perikatan pemerintah hanya akan terus relevan sekiranya setiap kaum di bumi Malaysia ini saling meragui antara satu sama lain. Dengan cara itu saja mereka dapat terus menjadi hero. Perjuangan PR pula memerlukan semua rakyat mengetepikan perbezaan kaum dan berjuang atas prinsip mulia yang dipersetujui semua.

Kita mungkin tidak dapat memulihkan barah perkauman di Malaysia dalam tempoh satu hari. Tetapi antara jalan yang boleh kita ambil adalah dengan melepaskan kekuasaan daripada tangan mereka yang masih tersekat dengan corak pemikiran perkauman yang sudah ketinggalan zaman. Demi Malaysia yang lebih baik, apakah kita mahu perikatan Barisan Nasional (BN) yang akan terus bermain dengan isu kaum atau PR yang memperjuangkan kebaikan bersama?-roketkini.com