Rencana

Kongres DAP yang bersejarah Oleh : Mazir Ibrahim

Terdapat dua acara penting pada Kongres Kebangsaan DAP ke-16, di Pulau Pinang baru-baru ini.

Pertama, pemilihan pucuk pimpinan parti yang mana seramai 66 calon bertanding untuk mengisi 20 tempat dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) dan kedua, ucapan dasar Setiausaha Agung DAP,  Lim Guan Eng.

Bagi mereka yang ghairah bermain politik, terutama juak-juak UMNO, pastinya keputusan pemilihan CEC menjadi perhatian utama mereka. Tidak hairanlah apabila keputusan diumumkan, juak-juak UMNO menerusi lidah rasminya Utusan, memutar belit habis-habisan isu ketiadaan calon berbangsa Melayu yang menang.

Mereka mengambil kesempatan tanpa berfikir panjang dan terus cuba mempengaruhi orang ramai untuk melabelkan DAP sebagai parti cauvinis Cina semahunya. Seolah-olah, rakyat Malaysia itu terlalu bodoh untuk menerima hujah semberono mereka.

Tidak dinafikan, memang calon Melayu gagal dalam perebutan kerusi CEC kali ini, tetapi adakah ini penyudahnya? Adakah ini menjadi indikasi bahawa aspirasi
DAP untuk menzahirkan partinya sebagai parti pelbagai kaum sudah terkubur?

Seperti yang kita sebutkan, bagi mereka yang gila berpolitik cara perkauman seperti UMNO, pastinya keputusan ini dianggap mereka sebagai muktamad atau penyudah kepada hasrat DAP untuk menjadi parti pelbagai kaum..

Tetapi bagi mereka yang cenderung untuk berfikir rasional, pastinya keputusan ini menggambarkan sesuatu yang sebaliknya, malah ia lebih menarik untuk diperkatakan secara waras dan jelas.

Pertama, pemenang sebenar pada pemilihan itu adalah golongan muda. Bukan kemenangan berdasarkan pecahan perkauman sepertimana bacaan minda UMNO.

Jika kita lihat pememang kali ini, mereka adalah pemimpin generasi muda seperti Anthony Loke, Chong Chien Jen, Tony Pua, Liew Chin Tong, Nga Kor Ming dan Teo Nie Ching, manakala Zairil Khir Johari pula akhirnya dilantik dalam CEC. Ini pastinya berbeza sekali berbanding barisan ahli Majlis Tertinggi UMNO, pastinya golongan muda tidak ada tempat.

Mereka yang berfikiran perkauman, pastinya tidak dapat melihat lebih jauh ke depan. Maka tidak hairanlah bagaimana juak-juak UMNO ini merangka dasar negara berdasarkan pecahan perkauman. Malah mereka mengagih kuasa dan ekonomi antara MIC dan MCA juga berdasarkan pecahan perkauman, jadi mana mungkin orang seperti mereka boleh memahami demografi politik yang lebih luas lagi.

Apabila ada calon Melayu kalah dalam pemilihan, itu menjadi isu besar bagi mereka seolah-olah UMNO itu parti yang memperjuangkan kesaksamaan hak antara kaum dalam partinya sendiri. Malah mereka tidak sedar bahawa calon vateran juga tewas dalam pemilihan kali ini seperti Prof. Ramasamy, Ronnie Liu dan Dr Tan Seng Giaw.

Kedua, pemilihan kali ini memberi gambaran jelas bahawa budaya politik dalam DAP menitikberatkan merit, bukan berdasarkan kuota kaum. Pastinya sedikit sebanyak, calon Melayu di dalam DAP perlu menunjukan satu motivasi yang tinggi dalam memastikan kapasiti mereka berada dalam keadaan mantap jika mahu memimpin satu parti pelbagai kaum pada masa depan.

DAP pada dasarnya sangat memberi ruang kepada generasi muda dalam mendepani cabaran politik baru. Malah menurut Guan Eng, satu pertiga calon DAP adalah yang berumur 30 tahun ke bawah. Daripada kalangan wakil rakyat, DAP memliki lebih satu pertiga berusia bawah 40 tahun apabila mereka dipilih pada 2008.

Demografi politik telah dan sedang berubah, DAP, PKR dan PAS sedang mengorak langkah jauh ke hadapan. Hanya UMNO dan sekutunya yang masih berada dalam kerangka politik dan minda lama dan gelap. Justeru itu kita ucapkan, selamat tinggal UMNO! – Roketkini.com