Berita

Pasar ikan Kota Kinabalu daif, peniaga, pengunjung tidak puas hati

KOTA KINABALU, 29 DIS: Biarpun Sabah merupakan negeri ‘kaya’ yang menjadi tumpuan pelancong dan popular dengan makanan laut yang segar, tetapi apa yang sukar dipercayai ialah keadaan pasar ikan sekitar Kota Kinabalu yang masih dalam keadaan daif dan uzur.

Menurut Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Dr Hiew King Chew, dalam tinjauan yang dilakukan, sudah tiba masanya kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan menaiktaraf semua pasar yang menjadi tumpuan itu.

“Ketika di pasar, peniaga ikan dan operator bot nelayan menunjukkan kami bagaimana mereka memunggah hasil tangkapan. Memang memeranjatkan kerana mereka terpaksa memunggah ikan melalui tembok pada pagar besi yang sudah berlubang,” ujarnya.

Jelas Hiew, lebih memalukan dan menyedihkan ialah tiada jeti disediakan untuk peniaga dan pemborong ikan memunggah hasil tangkapan nelayan ke darat.

“Untuk mengangkat sebakul ikan, mereka memerlukan lima hingga enam orang dan terpaksa menggunakan tali untuk menariknya ke atas melalui tembok pagar besi itu.

“Mereka ingin tahu samada jeti dibina atau membuka pagar besi itu untuk memudahkan mereka memunggah hasil tangkapan itu ke darat,” katanya.

Bagi Dr Hiew perkara itu boleh dilakukan sekiranya kerajaan mahu PBT berbuat demikian malahan kosnya juga lebih murah.

Tinjauan DAP Kota Kinabalu itu turut disertai Naib Pengerusi DAP Kota Kinabalu, Edward Ewol Mujie dan pembantu khasnya, Andrew Lee dan Robert Rajah untuk melihat sendiri keadaan lantai di pasar itu yang uzur.

“Bila kami masuk ke dalam pasar itu, lantainya sudah pecah dan peniaga ikan di situ mahu pihak berkuasa segera mengambil tindakan mengatasi masalah itu.

“Kami menggesa pihak berkuasa menggantikan lantai di pasar itu dengan memasang jubin yang baik. Saya dengar, bukan hanya peniaga, pengunjung juga mengadu bahawa lantai di pasar itu licin dan membahayakan pengguna,” ujarnya.

Selain masalah pasar yang daif dan uzur, sebatang lampu jalan juga didapati senget dan terpaksa diikat dengan tali untuk menahannya daripada tumbang dan membahayakan keselamatan orang ramai.

“Memalukan dan sangat berbahaya kerana bila-bila masa pun tiang lampu itu boleh tumbang,” katanya.

Mengulas mengenai tinjauan itu, Hiew berkata, bahawa beliau akan berusaha untuk memastikan masalah itu segera diselesaikan.

“Pihak Pemasaran Perikanan Sabah Sdn Bhd (SAFMA) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) perlu segera bertindak supaya pasar ikan di Kota Kinabalu itu lebih baik dan selamat digunakan,” ujar beliau. – Roketkini.com