Berita

BN makin terdesak, undi boleh dibeli sebelum temboh kempen?

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Pembongkaran tindakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bersama Barisan Nasional (BN) melatih Orang Asli di Tapah mengundi parti itu baru-baru ini membuktikan dengan jelas BN semakin panik selain mengkhianati tugas murni institusi awam dan sistem demokrasi berparlimen negara ini.

Justeru, DAP mendesak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) bertanggungjawab dan mahu agar ‘bos’nya meletakkan jawatan serta merta.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Zairil Khir Johari berkata, apa yang lebih memeranjatkan ialah kenyataan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar yang dipetik media bahawa latihan pilihan raya oleh BN itu boleh diterima dan normal.

Zairil kecewa apabila Wan Ahmad menyatakan sumbangan beras sebagai pertukaran untuk undi juga boleh diterima kerana ia cuma dianggap satu kesalahan sekiranya “diberi ketika tempoh kempen.”

“Respon SPR ini sangat mengejutkan dan langsung tidak punya kredibiliti.

“Bagaimana mungkin SPR yang merupakan sebuah institusi awam yang sepatutnya tegas dan bebas boleh membersihkan perbuatan yang tidak beretika itu? Apa lagi ia membabitkan sebuah jabatan kerajaan yang dibiayai dana awam,” katanya.

Yang dipertikaikan, Zairil berkata, adakah dengan kenyataan sedemikian bermaksud parti politik boleh membeli undi sebelum tempoh kempen.

“Bagaimana semua ini boleh masuk akal? Adakah seseorang pelajar itu dibenarkan untuk menipu selagi tempoh peperiksaan belum tiba.

“Dalam tempoh BN dijangka menggunakan teknik Machiavellian yang berpegang kepada niat menghalalkan cara untuk mencapai tujuan mereka, namun DAP langsung tidak boleh terima sebarang penipuan, pembelian undi dan rasuah politik,” jelasnya.

Baru-baru ini PKR Perak membongkarkan JAKOA bersama ADUN Chenderiang, Dr Mah Hang Soon melakukan “latihan mengundi” di sebuah kampung Orang Asli di Tapah  di mana penduduk yang menerima “latihan” itu masing-masing diupah dengan lima kilogram beras.

“Sudahlah Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR dikaitkan sebagai ahli kepada sebuah parti politik, ditambah pula dengan kenyataan bias mereka terhadap perbuatan “beli undi” ini. Ia sama sekali memusnahkan integriti SPR.

“Tidak ada jalan lain lagi selain daripada meletak jawatan sekurang-kurangnya dapatlah memelihara kredibiliti institusi awam terbabit,” ujar Zairil. – Roketkini.com