Berita

Rahsia besar bakal gugat kuasa Najib: Siasat segera dakwaan Deepak – Gobind Singh Deo

KUALA LUMPUR, 31 DIS: DAP mendesak pihak polis menyiasat berhubung dakwaan saudagar permaidani, Deepak Jaikrishnan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan keluarganya.

Ini berikutan pengakuan ahli perniagaan itu yang mendakwa mempunyai maklumat baru mengenai pembunuhan wanita model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Dalam kenyataannya hari ini, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo mendesak pihak polis menyiasat dakwaan serius Deepak itu.

Katanya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar perlu memberitahu berapa banyak kenyataan yang sudah diambil sehingga kini dan dan siapa yang mengambil  kenyataan itu.

“Kami ingin tahu samada tindakan sudah diambil atau tidak dan jika tidak, kenapa tidak diambil. Kami mahu pihak polis segera bertindak,” katanya yang juga seorang peguam.

Sebelum ini, Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh pernah mengeluarkan kenyataan bahawa sesiapa saja yang mempunyai maklumat mengenai pembunuhan perlu membuat laporan polis.

“Disebabkan Deepak masih belum membuat laporan polis, ini bermakna dia telah melakukan kesalahan,” katanya ketika berucap di Kongres Kebangsaan DAP ke-16, di Pulau Pinang baru-baru ini.

Menurut Karpal, mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian jenayah tetapi merahsiakannya boleh dipenjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 202 Kanun Keseksaan.

Ibarat telur dihujung tanduk, kes membabitkan pembunuhan kontroversi Altantuya Sharibuuu itu  kini semakin menghantui Perdana Menteri, Najib Razak dan kuasa politik beliau apa lagi beliau sudah disapina oleh mahkamah Perancis awal tahun ini.

Menjelang tahun baru 2013 ini , Najib bakal tersepit dengan satu lagi ‘pendedahan besar’ yang akan didedahkan Deepak seperti yang dijanjikannya.

Menarik perhatian umum, Deepak juga akan turut melancarkan bukunya mengenai isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang bertajuk ‘Black Rose’ pada hari sama. – Roketkini.com