Rencana

Adakah rakyat sudah matang? Oleh Adil Mat Selamat

Tahun baru telah tiba, pilihanraya umum juga akan tiba tak berapa lama lagi, itu amat pasti. Najib Razak harus berhadapan dengan kuasa rakyat sama ada kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri diterima atau sebaliknya. Inilah simboliknya PRU 13 kepada Pak Memanda Menteri kita, agak ngeri rasanya.

Bagi UMNO-BN, pastinya tahun ini menjadi penentu kesinambungan kuasa mereka. Bagi Pakatan Rakyat pula, tahun ini merupakan tahun untuk melihat sama ada potensi mereka untuk menggantikan pentadbiran yang korup, dapat diyakini oleh rakyat. Perlawanan untuk kedua-dua gabungan parti ini sangat-sangat penting.

Beberapa bulan sebelum PRU 13, isu-isu berkaitan agama dan bangsa seperti sudah menjadi tradisi politik di Malaysia, ia kembali menghantui pengundi di Malaysia. Media massa yang tak pernah  benarkan suara Pakatan Rakyat didengar oleh rakyat sudah mula merepek.

Pesta fitnah menjelang PRU

Sejak zaman Mahathir Mohamad lagi, apabila menjelang sahaja pilihanraya, secara tiba-tiba isu yang berkaitan dengan agama dan perkauman menjadi bahan kempen politik mereka. Ia seolah-olah meletakkan taraf agenda politik kita seperti sampah.

Kini isu ‘Amanat Haji Hadi’ mula berkumandang semula. Bak kata orang ‘luka lama berdarah kembali’, atau kekasih lama muncul kembali. Pusing-pusing di situ juga. Tdaik pernah isu ini diselesaikan oleh UMNO, melainkan menjadi bahan fitnah kerana pemimpin PAS itu tidak pernah diberi ruang untuk menjelaskan perkara sebenar – yang tidak ada kaitan dengan ‘mengkafirkan’ orang lain – dalam media massa yang dikawal rapi oleh UMNO-BN.

Ini menjadi dilema PAS sejak beberapa lama. Agenda ‘Negara Berkebajikan PAS’ seperti tenggelam dalam onak permainan politik agama UMNO ini. Kita yakin kebijaksanaan pimpinan  PAS dengan cara berhikmah mampu mengatasinya.

Pastinya para pemimpin dan ahli PAS sedar bahawa UMNO – yang menolak Negara Islam, yang menentang pelaksanaan hudud, yang bergelumang dengan rasuah, penyelewengan dan makan hasil judi serta perkara-perkara yang tidak halal – tidak layak untuk menjadi juara Islam.

Orang Melayu juga harus sedar perkara ini. Siapa UMNO yang nak berlagak jaguh Islam?

Berbahas secara berhemah

Begitu juga dengan isu kalimah ‘Allah’, ia tidak sepatutnya menjadi medan tendang terajang agama oleh ahli politik. Inti sebenarnya ialah apa jua isu yang ditimbulkan oleh siapa pun, ia seharusnya didebat atau dibahas oleh golongan cerdik pandai, pakar, professional atau tokoh masyarakat. Bukankah kita hidup dalam tamadun demokrasi?

Rakyat yang berilmu berhak diberi ruang untuk berhujah bagi pihak mereka sendiri. Pihak berkuasa wajar memberi dan menggalakkan rakyat menggunakan ruang awam (public sphere) yang berjalan secara sihat.

Dalam ruang lingkup demokrasi, tidak ada isu yang perlu ditenggelamkan, sebaliknya semua isu wajar mendapat tempat untuk dibahas atau diwacanakan. Memang ada topik yang perlu secara tertutup, namun biarlah isu-isu rakyat dibicara secara umum, terbuka dan selamat. Ini bertujuan untuk memastikan masyarakat jelas dengan isu tersebut, malah kita harap agar isu itu tidak sekadar menjadi isu ‘dongeng’ oleh UMNO-BN yang menguasai media massa.

Jika melihat dalam konteks hari ini, pastinya isu-isu tersebut hanya akan menjadi ‘bahan perkakas’ untuk tujuan politik sempit oleh ahli politik sempit, ekstrem dan rasis, sebaliknya bukan menjadikan isu tersebut sebagai premis untuk berpolitik secara waras.

Isu ini pastinya akan gagal menggerakkan masyarakat untuk berfikir dan terlibat dalam ruang demokrasi secara wajar. Rakyat akan sekali lagi dibohongi oleh elit politik untuk menakut-nakutkan mereka dan akhirnya kuasa berbalik kepada status quo. “Pi mai Pi mai Tang tu”

Dalam hal ini adakah rakyat sudah cukup matang? Atau rakyat masih mudah gelabah dengan isu merepek yang dibawakan oleh lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia, dan sekutunya TV3?

Namun, di sebalik keresahan dengan budaya politik yang memperalat agama, kita yakin bahawa masyarakat Malaysia khususnya Muslimin sudah cukup matang dan bijak untuk melihat dan menilai, yang mana sampah dan yang permata.

Demokrasi untuk semua, jangan biarkan demokrasi dimonopoli oleh mereka yang korup kuasa. – Roketkini.com