Berita

Mula kira 100 hari PRU-13, pastikan PR ganti BN

KUALA LUMPUR, 2 JAN:Rakyat boleh mula mengira 100 hari lagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dan pastikan mandat yang jelas untuk Pakatan Rakyat (PR) menggantikan Barisan Nasional (BN) mentadbir Putrajaya untuk membina negara yang bersatu, demokratik, adil, progresif dan makmur.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata biar semua rakyat terbabit mengira detik 100 hari PRU-13 kerana mungkin mencatat peristiwa bersejarah.

“Ini membuatkan ungkapan 100 hari ke PRU-13 menjadi sebutan kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berterusan menjadikan dirinya tumpuan negara dan antarabangsa selama hampir dua tahun kerana memainkan watak Hamlet yang sengsara dengan persoalan “To Be or Not To Be” (melakukan atau tidak) membubarkan Parlimen bagi mendapatkan mandat baru sekaligus menamatkan peranannya sebagai Perdana Menteri paling lama di Malaysia yang tidak dinaikkan melalui pilihan raya,” kata Kit Siang dalam kenyataannya semalam.

Beliau berkata, walaupun Najib tidak mengadakan PRU-13 pada 20 April – hari ke-100, Parlimen akan terbubar dengan sendirinya pada 27 April 2013 kerana Perlembagaan Persekutuan memperuntukan sedemikian kecuali dibubarkan lebih awal selepas PRU-12 pada 28 April 2008.

“Saya rasa Najib tidak mahu menjadi lebih Hamlet daripada Hamlet dan tidak dapat membuat keputusan sehingga Parlimen terbubar dengan sendirinya pada 27 April 2013 bagi membolehkan PRU-13 diadakan.

“Dalam perutusan Tahun Barunya, Najib menyeru rakyat Malaysia memberi kerajaan BN mandat kerana beliau berjanji untuk membangunkan negara sedaya upayanya,” katanya.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, dalam tempoh empat tahun menjadi Perdana Menteri, Najib menunjukkan beliau bukanlah penentu kepada nasibnya sendiri, sebab itu banyak program “tranformasi” dilihat lebih kepada dilanggar berbanding dipenuhi – termasuklah dasar 1Malaysia yang sehingga kini tidak mendapat sokongan baik daripada Kabinetnya atau UMNO dan Majlis Tertinggi BN.

Menurutnya, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek ketika kiraan detik Tahun Baru di Johor Bahru mengatakan beliau akan meletakkan jawatan dan menyertai DAP sekiranya DAP menang besar di Johor dan melantik Menteri Besar berbangsa Cina.

“Ini merupakan politik yang tidak jujur dan penuh pembohongan serta  penipuan yang tidak diperlukan Malaysia pada abad ke-21 dan saya akan menjadi orang pertama membantah Chua Soi Lek menyertai DAP,” katanya. – Roketkini.com