Berita

NST putar belit kenyataan Guan Eng lagi.

GEORGE TOWN, 3 JAN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyifatkan akhbar The New Straits Time (NST) milik UMNO-BN sebagai akhbar penabur fitnah dan penyebar kebencian kaum dengan memutar belit berita.

Guan Eng dalam kenyataan medianya turut menempelak akhbar propaganda BN itu kerana hanya berperanan menghasut dan menipu pengundi dengan tidak menyiarkan sepenuhnya kenyataan beliau, tetapi sekadar memutarbelit isi ucapan sambil memetik komentar daripada pemimpin BN Negeri Pulau Pinang.

“NST dalam laporannya hari ini memutar belit kenyataan saya dengan tidak menyiarkan penuh isi kandungan yang menyatakan bahawa korupsi yang berleluasa oleh BN mengakibatkan semua 28 juta rakyat Malaysia menjadi rakyat kelas ketiga dari segi ekonomi,” ujar beliau.

“Rakyat kelas pertama adalah pemimpin BN manakala rakyat kelas kedua adalah kroni BN dan pengikut mereka,” jelasnya.

Dalam laporan NST bertajuk ‘Lim’s message all lies’, akhbar itu secara tidak bertanggungjawab membuat gambaran palsu kononnya Guan Eng hanya mengatakan orang Cina dan India yang menjadi rakyat kelas ketiga dari segi ekonomi, sedangkan beliau turut menyebut bahawa orang Melayu serta Bumiputera Sabah dan Sarawak turut menjadi mangsa keadaan ekonomi angkara BN.

“NST juga tidak menyebut mengenai keadaan ekonomi Bumiputera yang melarat akibat korupsi seperti skandal saham Bumiputera RM52 bilion, di mana sebanyak RM52 bilion saham dilenyapkan walaupun Bumiputera biasa di kalangan Melayu dari Sabah dan Sarawak tidak mendapat walau satu saham,” ujarnya.

“Saya tanya Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said semalam sama ada beliau mendapat saham dan beliau menjawab tidak,” katanya yang berkesempatan bertemu Sasterawan Negara itu di majlis pelancaran video Ubah Rocket Style anjuran DAP di ibu negara, semalam.

Laporan akhbar itu didapati sekadar memetik isu perkauman sempit namun tidak pula menyiarkan kenyataan Guan Eng mengenai keadaan ekonomi masyarakat Sabah dan Sarawak, dua negeri yang kaya sumber asli namun rakyatnya berada dalam miskin papa sementara pemimpinn BN mengaut kekayaan.

“Inilah sebab kenapa 28 juta rakyat Malaysia menjadi rakyat kelas ketiga dari segi ekonomi berikutan pendedahan wang haram RM871 bilion yang dialirkan keluar dari 2001-2010 dalam Laporan Global Financial Integrity yang disediakan oleh pemerhati kewangan yang berpusat di Washington,” ujar beliau lagi.

Menurut Guan Eng lagi, seluruh dunia juga sudah sedia maklum dengan keadaan korupsi yang semakin berleluasa di Malaysia, terutamanya di kalangan parti komponen BN yang mengakibatkan mereka ditolak rakyat pada PRU ke-12 tahun 2008.

“Sepertimana parti satu kaum seperti UMNO, MCA dan MIC boleh bersatu atas dasar korupsi, tidak ada sebab kenapa rakyat Malaysia yang berbilang kaum tidak boleh bersatu menentang korupsi,” katanya.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP turut mengulang aspirasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan Pakatan Rakyat untuk membasmi kemiskinan secara total melalui Agenda Ekonomi Saksama (AES) pada tahun ini.

“Bagaimana mungkin usaha menentang korupsi dan kemiskinan, dua program yang tidak pernah dijalankan kerajaan negeri BN terdahulu, boleh dikatakan oleh NST sebagai menghasut kebencian,” tambah Guan Eng. – Roketkini.com