Berita

Jadikan rasuah isu penting pada PRU-13 – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Semua 13.1 juta pengundi di negara ini hendaklah menjadikan rasuah satu daripada isu penting pertama kalinya dalam tempoh 53 tahun pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata, semalam beliau mencadang semua rakyat Malaysia mengambil bahagian dalam pengiraan detik100 Hari ke PRU-13 bermula pada hari pertama tahun baru 2013 kerana peristiwa itu mempunyai kepentingan dan kemungkinan bersejarah.

Sabtu lalu Bernama melaporkan kenyataan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor bahawa semua calon Barisan Nasional (BN) yang bakal bertanding pada PRU-13 bebas rasuah dan jenayah.

Menurutnya, bakal calon BN bagi semua 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah melalui proses saringan teliti termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi untuk memastikan calon terbabit ‘bersih’ dan bebas masalah.

“Semua calon BN yang bakal bertanding telah melalui proses saringan yang teliti,” katanya.

Selain itu, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, latar belakang bakal calon BN juga dikaji secara mendalam untuk memastikan mereka adalah pilihan rakyat.

“Kita mahu calon yang bakal bertanding itu adalah mereka yang dikehendaki rakyat, bukannya kehendak parti atau individu dalam parti. Kita mahu calon yang rakyat fikirkan dia boleh mewakili rakyat,” katanya.

Laporan Bernama yang mengundang cemuhan dan kebencian awam  membuktikan, sekiranya bukti masih diperlukan bahawa UMNO/BN tidak mampu menjadi serius atau dipercayai dalam sebarang kempen memerangi rasuah.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, rakyat Malaysia tidak sepatutnya lupa pada PRU 2004 ketika BN menerbitkan iklan semuka penuh yang mengatakan kerajaan “korup dan rosak hingga ke akar…tiada satu pun aspek kehidupan yang tidak dicemari rasuah” dan menuntut pengundi memberikan mandat kepada Pak Lah supaya menjadi “Hakim Bao zaman moden” di dalam “membanteras rasuah habis-habisan”.

Abdullah tidak menjadi “Hakim Bao moden”. Tetapi, Malaysia menjunam lebih teruk setiap tahun di dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI), jatuh daripada No.37 pada 2003 ketika Tun Mahathir dank ke-47 ketika Abdullah dan kedudukan terburuk di bawah pemerintah Datuk Seri Najib Razak daripada tahun 2009 – 2012 (iaitu ke-56 untuk 2009 dan 2010, ke-60 untuk 2011 dan ke-54 pada 2012).

“Adakah Najib berwibawa untuk melakukan apa yang Abdullah telah gagal lakukan ketika dua pilihan raya umum lalu pada 2004 – iaitu untuk menjadi “Hakim Bao moden” bagi membanteras habis-habisan rasuah dan memulihkan sistem yang “korup dan rosak sehingga ke akar…tanpa satu pun aspek kehidupan tidak tercemar dengan rasuah,” katanya.

Kenyataan Tengku Adnan Sabtu lalu adalah bukti UMNO/BN menjadikan isu rasuah yang serius di Malaysia sebagai sandiwara.

Mana mungkin semua 222 calon Parlimen dan 505 calon dewan undangan negeri BN untuk PRU13 diperiksa dan disahkan bersih daripada rasuah atau jenayah oleh SPRM, polis dan Jabatan Insolvensi apabila semua orang tahu bahawa BN dan parti komponennya masih belum menyenaraikan semua calon berkenaan.

Menurut Kit Siang, barangkali apa yang Tengku Adnan maksudkan adalah semua 222 calon kerusi Parlimen dan 505 calon kerusi dewan undangan negeri untuk PRU-13 akan didapati bebas daripada rasuah dan jenayah lain kerana SPRM dan pihak polis dikehendaki mengeluarkan “cek kosong” untuk membersihkan nama mereka semua.

“Ini adalah bukti akhir mengapa isu rasuah perlu menjadi isu penting PRU-13 kerana tidak mungkin akan ada usaha serius memerangi rasuah selagi Putrajaya diperintah UMNO/BN – hanya perubahan sistem dengan kerajaan Pakatan Rakyat dapat memulakan pembersihan kerajaan dan negara yang panjang dan sukar tetapi amat diperlukan. – Roketkini.com