Berita

LHDN harus hentikan ‘serangan keganasan cukai’ terhadap PKS

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak sepatutnya melakukan ‘serangan keganasan cukai’ terhadap Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), termasuk siasatan kes cukai yang melebihi enam tahun lampau.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata demi kepentingan undang-undang, sebarang peningkatan dalam kutipan cukai tidak seharusnya diperolehi daripada penindasan sektor tertentu sementara mereka yang mempunyai kabel politik dilepaskan.

Katanya, beliau akui LHDN berjaya meningkatkan kutipan hasil cukai pendapatan korporat sebanyak 29 peratus daripada RM36.3 bilion pada 2010 kepada RM46.9 bilion pada 2011 serta 13.5 peratus peningkatan hasil cukai pendapatan individu iaitu daripada RM17.8 bilion pada 2010 kepada RM20.2 bilion pada 2011.

“Cukai pendapatan korporat dijangka meningkat 15.5 peratus kepada RM54.1 bilion pada 2012 manakala cukai pendapatan individu meningkat 11.1 peratus kepada RM22.4 bilion dalam tempoh yang sama.

“Bagaimanapun, komitmen baru LHDN itu tidak harus menjadi alasan untuk memburu orang dengan sewenangnya, termasuk mengejar cukai lama yang melebihi enam tahun serta penggunaan Akta Pengubahan Wang Haram 2001 untuk menakutkan PKS supaya “melangsaikan” tunggakan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
.
Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, DAP mengakui PKS menghadapi pelbagai cabaran di tengah ketidaktentuan global. PKS adalah tulang belakang ekonomi negara selain cabaran domestik seperti pematuhan Akta Saingan Adil 2010 dan persediaan untuk pelaksanaan gaji minimum tahun ini.

“Daripada menggunakan taktik keras dan “serangan keganasan cukai” terhadap PKS dan menggunakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk membuli NGO seperti SUARAM, lebih baik LHDN bersikap adil dengan menyiasat mereka yang terbabit menyumbang RM40 juta kepada UMNO melalui Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan skandal RM250 juta “lembu dan kondo” serta kekayaan luar biasa pemimpin BN, termasuk Ketua Menteri Sarawak,” tambahnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, DAP meminta kerajaan mempertimbangkan pindaan Akta Pembatasan 1953 supaya agensi kerajaan seperti LHDN tidak diberi “carte blanche” untuk menyiasat tuntutan cukai tanpa statut pembatasan.

Sebaliknya, Guan Eng berkata, DAP mencadangkan tempoh enam tahun yang diguna sebagai statut pembatasan untuk syarikat swasta yang ingin mendapat tuntutan mengikut Akta Pembatasan 1953 juga diterima pakai oleh LHDN.

“DAP juga meminta kerajaan menimbangkan “pengampunan” bagi cukai melebihi enam tahun yang tidak dibayar untuk membantu PKS melalui keadaan ekonomi semasa yang susah ini,” katanya. – Roketkini.com