Rencana

Pojok: Anak Mami di Perantauan – DAP parti skema

DAP ini memang parti skema palat. Kalau DAP ini budak sekolah rendah, dia ini jenis yang selalu jadi pengawas yang kancingkan kolar baju, pakai seluar sampai ke dada dan sikat rambut guna pembaris. Budak-budak spesis ini kalau di sekolah aku dahulu akan dipulaukan dan dibuli. Bukan sahaja oleh kawan-kawan sekelas, malah oleh cikgu sekolah sendiri.

Punyalah skemanya DAP ini, kalau dia ini spesis yang memandu kereta dan dilanggar dari belakang oleh lori sampah, dia akan keluar dari kereta dan pastikan pemandu lori sampah itu selamat tidak cedera; dan kemudian meminta maaf kerana kemalangan yang terjadi.

Skemanya DAP ini, kalau dia budak sekolah tadika yang sedang mewarna; dia akan marah kawan sebelah yang mewarna di luar garisan. Menjerit-jerit, “Bukan macam tu lah. Cikgu, tengok dia ni. Dia ‘kaler’ sampai terkeluar.”

Ya, DAP parti politik yang amat skema dan obses dengan keteraturan dan peraturan.

Berbeza dengan United Malays National Organisation. Jauh beza. Kalau UMNO ini budak sekolah rendah, dialah budak yang sedang menyumbat kepala budak skema tadi ke dalam lubang jamban dan menarik tali flush sampai tiga empat kali.

Perbezaan ketara UMNO dan DAP ini kelihatan lebih jelas apabila semalam DAP mengakui kesilapan apabila mengumumkan keputusan pemilihan parti yang diadakan sewaktu Kongres ke-16 di Pulau Pinang tempoh hari. Skema palat betul.

Sebenarnya adalah lebih mudah jika DAP mendiamkan diri sahaja daripada menebalkan muka dan mengakui wujud kesilapan teknikal sewaktu pengumuman keputusan berlangsung. Lagipun yang menyedari kesilapan ini hanyalah satu orang; dan tidak ada pula yang membuat laporan tidak puas hati dengan sistem yang berjalan sewaktu pemilihan berlangsung. Tidak seperti parti-parti politik lain yang berbaling-baling kerusi sewaktu pemilihan.

DAP sepatutnya tidak perlu menanggung malu dengan kesilapan yang telah berlaku. Lagipun calon-calon yang terjejas hanyalah lapan orang, dan kedua-dua orang yang paling terkesan juga tidak menerima kesan yang besar sangat. DAP boleh diam-diam sahaja dan mencatat sejarah sebagai parti politik yang mempunyai sistem pemilihan parti paling tidak bermasalah.

DAP boleh main politik tutup lubang. Itu mungkin pendekatan yang sesuai dengan UMNO, yang kebiasaannya akan mahu menjaga air muka dan tidak akan mendedahkan kesilapan-kesilapan kecil.

“Diam-diam sudah, apa nak kecoh,” ini mungkin ayat biasa apabila terjadi kesilapan teknikal dalam pemilihan UMNO atau parti-parti politik lain.

Tetapi masalahnya dengan DAP ini ialah; ia adalah sebuah parti politik yang skema dan bertindak mengikut arahan.

Biar merah muka, tak apa. Janji kesilapan diakui biarpun terpaksa menanggung malu. Asalkan kebenaran ditegakkan. Lebih baik begitu daripada berperangai seperti UMNO; yang siap ada adegan-adegan lampu padam tiba-tiba sewaktu pengiraan undi. Itu belum dikira politik wang yang telah menjadi darah daging parti politik berasaskan kaum itu.

Maka DAP mengakui wujud kesilapan tenikal dalam pengumuman keputusan pemilihan. Ada orang salah ‘copy paste’ keputusan. Dan akhirnya jelas bahawa delegasi Kongres tempoh hari memang sudah memilih sebuah Jawatankuasa Eksekutif Pusat yang siap siaga berdepan pilihanraya, dengan berasaskan kebolehan dan kepimpinan tanpa mengira soal kaum atau latar belakang.

DAP boleh sahaja mendiamkan diri. Tetapi ia parti politik yang mahu jujur dan tidak berselindung. Tidak seperti parti politik lain, terutamanya yang dalam BN tu. – Roketkini.com