Rencana

Pendidikan politik: Pengkaderan atau pencarian ilmu? Oleh Mazir Ibrahim

Rata-rata parti politik di Malaysia menjadikan “pendidikan politik” sebagai medan untuk merekrut anak muda untuk menghayati perjuangan parti agar terus taat setia dan kasih kepada parti atau sesuatu entiti yang diikutinya.

Yang menjadi amalan

Dalam bahasa yang lebih mudah, pendidikan politik yang difahami dan diamali hari ini kebanyakannya dijadikan medan pengkaderan untuk menjadikan anak muda atau orang baru sebagai pelapis pemimpin termasuk melahirkan balaci parti.

Bunyinya agak kasar tetapi itulah realitinya dan ini bukanlah asing dalam konteks politik Malaysia. Mentaliti ini dibentuk oleh pengaruh latar sejarah masyarakat dan parti-parti
politik di Malaysia. Mentaliti ‘hamba’ yang terkesan dari zaman penjajahan telah tertanam, bukan oleh penjajah, sebaliknya oleh balaci peninggalan penjajah.

Maka, umumnya yang dipelajari dalam pendidikan politik yang kebanyakannya adalah proses pengkaderan (konsep indoktrinisasi) yakni bagaimana mengenal musuh dan bagaimana mahu menjatuhkan musuh. Ini berlaku dalam kerangka politik parti dan daulah (kerajaan).

Justeru, inilah manifestasi yang dizahirkan dalam kem-kem bina semangat yang dikelolakan oleh Biro Tata Negara (BTN) sejak zaman berzaman.

Senario ini menghasilkan kesan rantaian iaitu parti-parti politik termasuk oposisi mula mengkader ahlinya untuk tujuan yang hampir sama dengan lawannya. Ibarat kata, “jika kau yang berkuasa guna besi, kami yang belum berkuasa guna kayu, janji sama-sama lawan”. Seolah-olah, itulah saja jawapan hakiki pada senario ini.

Nyatanya seperti sudah tiada jalan tengah sama sekali untuk mengatasi amalan ini. Kesudahannya, pendidikan politik itu telah menyimpang dari semangat dan matlamatnya. Lebih terluka, generasi hari ini menerimanya tanpa mempersoal sama sekali. Ini tragedi dalam demokrasi.

Yang sepatutnya menjadi amalan

Jadi, apakah matlamat sebenar pendidikan politik?

Umumnya ia mendidik pelatihnya untuk memahami asas idea dan nilai dalam prinsip-prinsip ideologi atau sesuatu fahamannya. Jika parti, maka ia ideologi parti. Jika negara, maka semangat perlembagaannya, begitu juga dengan entiti-entiti yang lain.

Pendidikan politik dalam konteks politik kuasa adalah jentera untuk membantu menyedarkan pesertanya tentang dinamika politik, prinsip dan etika entitinya – parti atau apa saja.

Semuanya berbentuk ‘nilai’. Soal kesetiaan, kejujuran, kecintaan kepada parti atau pemimpin hanyalah natijah dari konsep-konsep yang dipelajari dalam ruang pendidikan politik; itu semua bukan objektif.

Tujuan pendidikan politik ini adalah untuk berkongsi kefahaman tentang bagaimana kuasa boleh dikongsi, dipecah, diagih dan diurus. Barangkali bunyi sangat idealis tetapi itulah kenyataannya.

Idealisme itu juga bukanlah suatu imaginasi semata-mata, sebaliknya ia sesuatu yang nyata dan ia tidak bertentangan dengan kehidupan yang alami. Atas idealisme itu juga sudah lahir tokoh politik (sama ada yang berparti atau tidak) seperti Mahatma Gandhi, Aung San Suu Kyi, Karl Marx, Martin Luther King dan yang seumpamanya.

Makna pendidikan

Namun, dalam penzahiran konsep pendidikan politik kita yang bersimpang siur ini, tanpa disedari, rupa-rupanya kita juga telah menerima norma yang baik apabila kita mengguna pakai istilah ‘pendidikan’ berbanding ‘pengajian politik’ atau ‘latihan politik’ yang lebih rigid sifatnya.

‘Pendidikan’ itu sendiri sebenarnya sudah memecah tembok sifat-sifat eksklusif kepada sifat inklusif yang menolak jauh sifat-sifat rigid, formalistik, beku dan membosankan. Pendidikan dalam konteksnya adalah bersifat terbuka, bebas, santai dan yang lebih utama, sifatnya berterusan. Bukan bermusim seperti di sekolah formal.

Maka, siapakah di antara kita yang benar-benar mahu berlapang dada untuk mendidik ahli, pengikut atau orang baru agar bersikap terbuka, sederhana dan praktikal?

Jika dogma pendidikan politik di Malaysia sebagai aktiviti ‘pengkaderan’ mampu diubah menjadi pendidikan politik berasaskan nilai, pasti politik perkauman yang membayangi kita selama ini, akan dapat dimakamkan selama-lamanya.-roketkini.com

Jika kau fikirkan jangkamasa setahun, tanamlah benih
Jika kau fikirkan jangkamasa 10 tahun, tanamlah pokok
Jika kau fikirkan jangkamasa 100 tahun, ajarlah manusia
~ Confucius