Budaya

Jom, Mapley! Oleh: Uthaya Sankar SB

Gelaran “mapley” tiada kaitan dengan “mappillai” iaitu pengantin lelaki.

Kehadiran restoran mamak milik peniaga India-Muslim bukan sesuatu yang baru di Malaysia. Frasa “Jom, mamak!” sering kedengaran dalam kalangan penduduk pelbagai kaum, latar belakang dan agama.

Belakangan ini, frasa “Jom, mapley!” (atau “Jom ke warung mapley”) pula semakin popular. Sekiranya “mamak” (“pak cik” atau “bapa saudara” dalam Bahasa Tamil) merujuk kepada peniaga India-Muslim, apa pula yang dirujuk oleh “mapley”?

Dalam konteks Bahasa Malaysia, gelaran “mamak” merujuk kepada “saudara lelaki kepada ibu; bapa saudara sebelah ibu” atau “panggilan untuk orang-orang India yang beragama Islam atau untuk orang Melayu berketurunan India” (Kamus Pelajar, DBP).

Menurut Kamus Dewan (DBP) pula, istilah “mamak” adalah bagi “saudara ibu yang laki-laki, bapa saudara” atau “sebutan oleh raja kepada pembesar­-pembesar negeri” atau  “mak kecil, mak tua” atau “panggilan kepada lelaki India yang beragama Islam (terutamanya yang terlibat dengan per­niagaan makanan dan sebagainya)”.

Perkataan “mapley” (atau lazim dieja “mappillai”) dalam Bahasa Tamil merujuk pada “pengantin lelaki” atau “menantu lelaki”. Daripada perkataan “mappillai” itulah muncul istilah “mempelai” dalam budaya Melayu. Ada pula sekurang-kurangnya tiga filem Tamil dengan judul “Mappillai” iaitu lakonan T.R. Ramachandran (1952), Rajinikanth (1989) dan Dhanush (2011).

Sebagaimana gelaran “macha” (“adik ipar lelaki”) sudah biasa digunakan dalam kalangan rakan-rakan pelbagai kaum di Malaysia, sapaan “mapley” juga sudah tidak asing. Bezanya, “macha” digunakan pada rakan-rakan manakala “mapley” pada pelayan restoran.

Fadzil Latif menulis makalah bertajuk “Warung mamak/mapley: Apa istimewanya?” (Dewan Budaya, Disember 1997). Gambaran yang diberikan adalah bahawa “mamak” dan “mapley” sama dari segi makna dan konsep.

Kalau kita melayari internet, kita mungkin menemui laman www.mapley.org yang khusus bagi keluarga Mapley di United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia tetapi tiada apa-apa kaitan dengan India; apatah lagi dengan golongan India-Muslim.

Mamak tidak semestinya mapley

Satu lagi laman, www.mapleyfoods.com pula khusus menjual barangan makanan berasaskan pokok mapel. Sekali lagi, tiada apa-apa kaitan dengan “mapley” yang kita kenali di Malaysia.

Majoriti kaum India di Malaysia adalah daripada keturunan Tamil. Malah, keturunan Telugu, Malayali dan sebagainya tidak menghadapi masalah menguasai serta menggunakan Bahasa Tamil. Maka, dalam kalangan pengguna Bahasa Tamil (kaum India), istilah “mapley” yang digunakan mungkin sedikit lucu kerana dikaitkan dengan “mappillai” iaitu pengantin lelaki.

Saya juga pernah berasa pelik dan lucu. Akan tetapi, apabila saya berusaha mencari maklumat, maka tahulah saya akan kisah di sebalik mapley. Mungkin rata-rata rakyat Malaysia yang menggunakan frasa “Jom, mapley!” juga belum tahu kisah sebenar.

Rupa-rupanya gelaran “mapley” tidak merujuk kepada golongan India-Muslim (mamak) secara umum seperti yang sering kita fikir. Sebaliknya merujuk kepada suatu komuniti khusus di/dari Kerala yang menganut mazhab Shafie dan Sunni.

Komuniti berkenaan yang juga digelar “Mappila”, “Moplah” dan “Mopla” adalah komuniti Islam terbesar di wilayah Malabar, negeri Kerala, pantai barat India. Kumpulan masyarakat itu wujud berikutan kedatangan agama Islam yang dibawa dari Arab pada masa silam.

Menurut fakta, masyarakat Mappila (mapley) juga terdapat di negeri Karnataka dan Tamil Nadu, India. Komuniti itu juga berhijrah ke Tanah Melayu (Malaysia) dan sering dikenali sebagai “Malabari” atau “Malwari”. Maknanya, “mapley” merujuk secara khusus kepada “Mamak Malabari” seperti yang lazim digunakan oleh beberapa orang rakan saya.

Istilah “mappilai” dipercayai terhasil daripada gabungan kata “ma” (ibu) dan “pillai” (anak), iaitu “anak emak”. Ada juga pendapat mengatakan “ma” adalah kependekan bagi “maha” (besar/hebat), iaitu “anak yang hebat”.

Bagaimanapun, pada peringkat awal di Kerala, komuniti yang memeluk Islam berikutan pengaruh Arab digelar “Conaka Mappila” untuk dibezakan dengan “Nasrani Mappila” (Kristian) dan “Juda Mappila” (Yahudi). Hal ini adalah kerana gelaran “mappila” pada asalnya merujuk kepada “pendatang” iaitu pedagang Islam, Kristian dan Yahudi yang datang ke Kerala.

Budaya komuniti Mapilla

Ibn Buttuta yang mengembara ke Kerala pada kurun ke-12 dilaporkan melahirkan rasa takjub dengan kewujudan komuniti Mappila beragama Islam yang kekal berpegang teguh pada budaya keturunan Malayali yang diwarisi sejak turun-temurun.

Komuniti Mappila juga terdapat di Pakistan. Sebenarnya, menjelang tarikh kemerdekaan India pada tahun 1947, Liga Muslim Kerala mencadangkan supaya wilayah Mallappuram di bahagian Kerala Selatan berpenduduk majoriti Islam diisytiharkan sebagai negara Islam dengan nama Moplastan. Cadangan itu gagal menjadi kenyataan dan ramai juga komuniti Mappila kemudian berpindah ke negara baru yang dinamakan Pakistan.

Agak menarik untuk mengetahui kisah di sebalik “mapley”. Apabila kita pergi ke “warung mapley”, mungkin boleh bertanya kepada “mapley” (pelayan) sama ada dia golongan Mappila yang berasal dari Kerala atau golongan mamak (India-Muslim) yang boleh sahaja berasal dari mana-mana bahagian India.

Tidak mustahil bahawa pelayan itu akan terasa seronok, bangga dan rasa dihargai apabila mendapat tahu bahawa kita tahu serba sedikit mengenai komunitinya. Atau sekurang-kurangnya kita menggunakan gelaran dan sapaan “mapley” betul pada tempatnya.

Saya percaya bahawa memang ada komuniti Mappila di Malaysia. Maksud saya, warganegara Malaysia yang nenek-moyang mereka berasal daripada komuniti Mappila di Kerala. Nenek-moyang saya berasal dari Kerala, berketurunan Malayali dan beragama Hindu. Sekali gus, saya bukan mapley.

Tentulah komuniti Mappila di Malaysia juga memiliki budaya yang unik dan menarik untuk diketahui. Apatah lagi dalam keadaan di mana pemerintah menggalakkan konsep “meraikan kepelbagaian” di bawah konsep “1Malaysia”.

Namun, pada masa sama, saya masih ingat bagaimana pada 7 April 2008, siaran berita di RTM1 mengenai sambutan Ugadi (tahun baru) oleh komuniti Telugu dihalang seorang editor dengan alasan “masyarakat Telugu hanya kelompok minoriti” (Free Malaysia Today, 19 Mac 2012). Sedangkan pada waktu itu, konsep “meraikan kepelbagaian” sedang hebat dicanangkan pemerintah berikutan “pengajaran” daripada Pilihan Raya Umum Ke-12.

Maka, mungkin kita perlu melupakan sahaja hasrat dan impian melihat keunikan komuniti Mappila (mapley) seperti tarian/nyanyian “Oppana”, lagu-lagu “Mappila Paatu” bertema Islam dan tarian “Kolkkali” menyerupai “Koolatam” (tarian kayu) ditonjolkan menerusi media milik pemerintah; semata-mata kerana mereka adalah golongan India-Muslim minoriti.

Mapley di layar perak

Dalam pada itu, kita mungkin berpendapat bahawa kita tidak mengenali walau seorang pun individu daripada komuniti Mappila; kecuali “mapley” iaitu pelayan di restoran mamak.

Sebenarnya, Mammootty yang dikenali dalam industri filem Malayalam dan Tamil adalah keturunan Mappila/mapley. Beliau yang berlakon dalam lebih 360 filem – termasuk filem-filem Tamil seperti “Azhagan” (1991), “Thalapathy” (1991) dan “Kandukondain Kandukondain” (2000) – lahir dan membesar dalam keluarga Mappila di Kottayam, Kerala.

Begitu juga dengan Cochin Haneefa yang sempat berlakon dalam lebih 300 filem Malayalam dan lebih 80 filem Tamil; khususnya “Mahanadhi” (1994), “Sivaji” (2007), “Enthiran” (2010) dan “Madrasapattinam” (2010) sebelum meninggal dunia pada 2 Februari 2010.

Filem Malayalam “Bodyguard” (2010) dibikin semula dalam versi Hindi (2011) dan Tamil (“Kaavalan”, 2011). Ketiga-tiga versi dilaporkan mendapat sambutan hangat daripada penonton. Pengarahnya ialah Siddique yang juga merupakan individu keturunan Mappila, iaitu komuniti India-Muslim dari Kerala.

Bagaimanapun, tentulah tidak memadai untuk kita mengenali komuniti Mappila daripada kalangan pelakon dan pengarah filem. Atau daripada kalangan mapley yang merupakan warganegara India dan menjadi pelayan di restoran mamak.

Mungkin belum terlewat untuk kita berusaha mengesan golongan mapley dalam kalangan rakan-rakan kita sendiri. Untuk kita mengenali kebudayaan unik yang mereka miliki.

Sementara itu, usah kita lupa bahawa “mapley” (Mappila) merujuk pada nama komuniti; sama seperti “Melayu”, “Jawa”, “India”, “Tamil”, “Cina”, “Iban”, “Bajau” dan sebagainya.

Secara rasional, kita tidak akan memanggil seorang pelayan atau pekerja dengan laungan “Oi, Melayu!” “Oi, India!” “Oi, Cina!” dan sebagainya. Maka, sebelum kita memanggil “Oi, Mapley!” untuk menarik perhatian pelayan di restoran mamak, wajarlah apa-apa yang diperkatakan di atas diberi perhatian.

[* Uthaya Sankar SB adalah pemilik tunggal ‘Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya’. Penulis bebas ini sedang dalam proses menerbitkan kumpulan cerpen “Kisah dari Siru Kambam”. Beliau memblog di www.uthayasb.blogspot.com]

– Roketkini.com