KUALA LUMPUR, 6 JAN: Kesilapan dalam keputusan pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) CEC DAP baru-baru ini adalah pengajaran berguna dan peringatan untuk semua pemimpin DAP agar sentiasa kekal jujur dan rendah diri.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, para pemimpin DAP perlu memegang kepada kata-kata “kejujuran adalah dasar terbaik” sekiranya mereka mahu terus mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat Malaysia.
Walaupun sedih dengan kesilapan itu, beliau tetap bangga kerana tiada seorang pun pemimpin DAP yang mencadangkan supaya ditutup kesilapan.
Malah, katanya, barisan kepimpinan sebulat suara mahu perkara yang sebenar didedahkan kepada parti dan umum serta sanggup berdepan dengan tindakbalasnya.
Menurutnya, DAP sedar kesilapan itu memalukan dan akan meletakkan DAP dalam keadaan di mana ia akan diserang oleh pihak lawan serta media yang mereka kuasai secara ganas dan tiada belas kasihan serta memutarbelitkan isu dengan dakwaan tidak berasas.
“Musuh politik kami mungkin melihat ini sebagai kelemahan bagi mereka untuk mengeksploitasi dan memecahbelahkan parti.
“Tetapi ini hakikatnya satu kekuatan yang mana pemimpin DAP bersedia untuk bertanggungjawab dan membetulkan kesilapan tidak kira betapa memalukan kerana kami percaya pada rendah hati dan ‘kejujuran adalah dasar terbaik’,” ujar beliau.
Isu kesilapan itu berlaku dalam pemilihan CEC DAP yang mana bilangan undi calon Zairil Khir Johari sebenarnya adalah 803 (dan bukannya 305 sebagaimana yang diumumkan pada 15 Disember lalu) dan calon Vincent Wu Him Ven sebenarnya mendapat 669 undi (dan bukannya 1,202 undi).
Dengan itu, Zairil sebenarnya menduduki tempat ke-20 manakala Wu mendapat tempat ke-26. CEC DAP mempunyai 20 tempat yang dipilih, dan CEC kemudian berhak melantik 10 ahli untuk menduduki jawatankuasa itu.
Menurut Kit Siang, kesilapan itu bagaimanapun bukan hasil daripada mana-mana kiraan undi, kerana undian Zairil dan Wu telah dikira dengan betul dan terjadual sebagai 803 undi dan 669 undi.
Beliau menjelaskan bahawa kesilapan keputusan pemilihan itu bukan masalah kiraan undi tetapi ralat komputer yang menyebabkan jumlah undian untuk lapan calon terakhir (iaitu No. 61 – 68) dikeluarkan sama seperti undi calon-calon nombor 31 hingga 38, seperti berikut:
No |
Calon |
Undi |
|
No |
Calon |
Undi |
31 |
LIM LIP ENG |
448 |
|
61 |
WONG SAI HOONG |
448 |
32 |
LIU TIAN KHIEW (RONNIE) |
761 |
|
62 |
WONG SZE PHIN @ JIMMY |
761 |
33 |
LOKE SIEW FOOK (ANTHONY) |
1202 |
|
63 |
WU HIM VEN (VINCENT) |
1202 |
34 |
M. KULA |
984 |
|
64 |
YONG WUI WUI (VIOLET) |
* |
35 |
MANOGARAN A/L MARIMUTHU |
305 |
|
65 |
ZAIRIL KHIR JOHARI |
305 |
36 |
MANOHARAN MALAYALAM |
216 |
|
66 |
ZULKIFLI BIN MOHD NOOR |
216 |
37 |
NG CHIN TSAI |
39 |
|
67 |
ROSELI BIN ABDUL GANI |
39 |
38 |
NG WEI AIK |
407 |
|
68 |
TAN BOON PENG |
407 |
Justeru, kata beliau, jumlah undi Wu (No. 63) dipaparkan dengan undian daripada No. 33 (iaitu 1,202 undi) dan jumlah undi Zairil (No. 65) dipaparkan dengan undian daripada No. 36 (iaitu 305 undi) sedangkan jadual yang sepatutnya adalah 669 untuk Wu dan 803 untuk Zairil berdasarkan pembuangan dan kiraan undi di Kongres DAP.
“Tiada sebarang unsur penipuan, manipulasi atau tidak jujur di dalam kiraan undi dan proses penjadualan,” tambah beliau. – Roketkini.com