Berita

Buku “The Black Rose” gegar singahsana Najib dan Rosmah?

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Janji peniaga permaidani, Deepak Jaikishan untuk melancarkan sebuah buku awal tahun ini membabitkan pendedahan besar kisah sebenar di sebalik pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Sharibuu sudah tertunai.

Walaupun ditulis dengan nama watak berbeza tanpa sedikit pun menyebut mana-mana personaliti tertentu, The Black Rose secara langsung memberi gambaran jelas mengenai hubungan saudagar permaidani itu dengan keluarga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

E-buku setebal 26 halaman ini adalah siri pertama pendedahan Deepak yang menamakan penulisnya sebagai “Spirit of Altantuya”, sudah mula berlegar di ruang siber sejak semalam.

“Ini adalah versi sebenar mengenai peristiwa yang membawa kepada akuan bersumpah kedua (SD-2) oleh LABA atas arahan Black Rose. (This is a true version of the events leading to the 2nd SD by LABA on the instruction of Black Rose),” petikan daripada perenggan awal naskah The Black Rose yang boleh dimuat turun melalui pautan ini.

Sebelum ini DAP mendesak pihak polis menyiasat dakwaan Deepak terhadap pengakuannya yang mengaitkan Perdana Menteri Najib Razak dengan kes pembunuhan berprofil tinggi Altantuya Sharibuu.

Pengerusi Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar perlu memberitahu berapa banyak kenyataan yang sudah diambil sehingga kini dan dan siapa yang mengambil  kenyataan itu.

“Kami ingin tahu samada tindakan sudah diambil atau tidak dan jika tidak, kenapa tidak diambil. Kami mahu pihak polis segera bertindak,” katanya yang juga Ahli Parlimen Puchong. – Roketkini.com