Berita

Sabotaj? BN main isu air Selangor burukkan kerajaan PR Selangor

AMPANG, 7 JAN: Isu air terus dimainkan media kawalan Barisan Nasional (BN) bagi memburukkan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor sedangkan ia kerana kegagalan syarikat konsesi air, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) milik kroni mereka memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

Masalah bekalan air di sekitar Lembah Klang berlarutan sejak 10 hari lalu akibat kegagalan lima rumah pam berfungsi dengan baik sehingga menimbulkan pertikaian rakyat.

ADUN Teratai, Jenice Lee Ying Ha berkata, mungkin gangguan bekalan air di negeri ini adalah antara sabotaj UMNO-BN terhadap Kerajaan Negeri Selangor

“Ini mungkin satu sabotaj kerana tidak mungkin sebuah syarikat yang begitu diterjaui CEO yang gajinya tinggi gagal mengurus perkhidmatan yang memuaskan kepada pengguna

“Kilang biasa pun tahu kalau tidak ada bekalan elektrik, dia ada backup system. Kami pertikai mengapa rumah pas air sistem SYABAS gagal berfungsi dan tidak diselenggara dengan baik dan kenapa ambil masa begitu lama untuk memperbaikinya? Ini sebenarnya masalah kecekapan dan penyelenggaraan, sebab itu Kerajaan Selangor mahu mengambil alih dan melakukan penstrukturan semula air di negeri ini,” katanya dalam satu ceramah di Kampung Baru Ampang malam tadi.

Sebelum itu, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, masalah bekalan air yang melanda beberapa kawasan di Selangor ini bukan salah kerajaan negeri tetapi SYABAS yang ‘tidak buat kerja’.

“Ini bukan masalah Kerajaan Selangor. Ini masalah Syabas. Dalam satu-satu masa sekurang-kurangnya kena ada tiga daripada lima pas air yang berfungsi. Tapi sekarang kelima-lima pam itu rosak.

“Sekarang, dua pam spare pun boleh rosak!” katanya di hadapan kira-kira 1,000 orang hadirin.

BN tak yakin menang

Selain isu air, penangguhan pilihan raya umum sejak 2011 oleh Perdana Menteri, Najib Razak juga disentuh kerana BN tidak yakin akan memenangi majoriti dua pertiga kerusi Parlimen.

Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok pula berkata, rakyat sudah tahu mengenai BN yang banyak terbabit dengan pendedahan skandal dan salah guna kuasa, termasuk skandal lembu NFC milik keluarga menteri yang masih belum selesai.

“Walaupun BN beri pelbagai bantuan termasuk BR1M, rakyat sudah tahu semua wang yang digunakan itu adalah wang rakyat hingga menyebabkan hutang negara mencecah lebih RM500 bilion.

“Jangan jadikan negara ini seperti Sepanyol dan negara lain yang mengalami krisis ekonomi yang teruk. BN kata kalau PR perintah negara boleh muflis, tapi realitinya di bawah BN, pengurusan kewangan sangat teruk dan negara boleh muflis,” jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Seputeh.

Beza kerajaan BN dan PR di Selangor

ADUN Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz berkata, UMNO-BN kini dalam keadaan tertekan kerana usaha mereka memecahbelahkan perpaduan parti dalam PR terutama antara PAS dan DAP.

“Sekarang ini semua rakyat tahu membezakan kebaikan antara negeri yang diperintah BN dan negeri yang diperintah PR, Ketika BN memerintah tidak ada bantuan untuk sekolah Cina, sekolah Tamil dan sekolah agama rakyat, manakala ketika PR, peruntukan disalur kepada semua sekolah berkenaan.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua pula berkata, pada PRU-12 lalu, rakyat mengundi parti oposisi kerana marah dan tidak bersetuju dengan dasar BN.

“Tetapi kini rakyat boleh buat perbandingan antara dasar kerajaan PR dan BN. Dari segi ekonomi, bila ada hutang, kita kutip 100 peratus seperti isu Talam. Manakala BN hutang kroni contohnya hutang Tajuddin Ramli sebanyak RM580 juta lupuskan.

“Skandal NFC, hutang keluarga Shahrizat RM250 juta tapi masih belum bayar balik walaupun sepatutnya dibayar pada Januari tahun lalu. Di sini rakyat boleh lihat kalau BN terus memerintah, negara boleh bankrap,” kata Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

Majlis itu dihadiri Ahli Exco Negeri Selangor, Ronnie Liu dan ADUN Chuah, Negeri Sembilan, Chai Tong Chai yang turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian “Ubah Rocket Style” oleh artis jemputan Ryan Char Kon Choong. -Roketkini.com