Berita

Deepak jadi tumpuan media UMNO/BN jika bongkar salah laku pemimpin DAP/PR

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Ahli perniagaan, Deepak Jaikishan mungkin muncul dalam semua media perdana milik UMNO-BN, terutama Utusan Malaysia dan TV3  sejak enam minggu lalu walaupun hanya 10 peratus dakwaannya terhadap salah laku pemimpin DAP dan parti lain dalam Pakatan Rakyat (PR).

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata bagaimanapun disebabkan dakwaan Deepak itu dilakukan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor serta pemimpin UMNO/BN beritanya tidak mendapat perhatian, malah digelapkan terus daripada disiar dan mendapat liputan meluas media berkenaan.

Beliau hairan kerana politik dan kewartawanan di Malaysia telah jatuh ke tahap sedemikian selepas 55 tahun Merdeka sejak 1957.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, berkata sepanjang tiga hari lalu adalah hari yang sukar buat pemimpin, ahli dan penyokong DAP dalam 47 tahun sejarah parti, kerana DAP memenuhi muka depan media perdana Barisan Nasional (BN) sejak dua hari lalu dan memenuhi semua siaran yang dikawal BN.

Berikut adalah tajuk berita muka depan yang disiar dalam media perdana BN sejak dua hari lalu:

* DAP silap kira undi? – Pengarah pilihan raya parti itu letak jawatan (Utusan Malaysia 5.1.13).
* Drama DAP – Lagi persoal isu silap kira undi (Mingguan Malaysia 5.1.13)
* DAP election FIASCO – Error raises doubts about party’s ability to rule country (New Straits Times 5.1.13)
* ‘Embarrassing glitch’ – (New Sunday Times 6.1.13)
* Sandiwara DAP pujuk Melayu – Ambil masa tiga minggu akui kesilapan pemilihan CEC (Berita Harian 5.1.13)
* Tindakan DAP ‘luar biasa’ – Pinda keputusan pemilihan janggal, timbul banyak persoalan: Muhyiddin (Berita Harian 6.1.13)
* It doesn’t add up (Star 5.1.13)

Kit Siang berkata, apabila DAP muncul di dalam media perdana BN, terutamanya muka depan, pasti bukan berita baik. malah, biasanya mengenai pembohongan – sepertimana kes yang terkenal pada 7 Mei 2011 ketika Utusan Malaysia memaparkan tajuk berita muka depan “Kristian agama rasmi?”, mendakwa DAP berkonspirasi dengan pemimpin Kristian untuk menjadikan agama Kristian sebagai agama persekutuan dan bukan lagi Islam serta satu lagi kes terkenal yang lain adalah pada 9 Julai 2012 di muka depan Utusan Malaysia adalah mengenai pembohongan bahawa DAP akan bertanding 90 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen untuk menguasai Pakatan Rakyat lalu melantik Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-13.

“Tidak diragukan lagi sekiranya Deepak membuat hanya 10 peratus dakwaan kepada pemimpin DAP/PR seperti yang dilakukan terhadap Najib dan pemimpin UMNO/BN, dia mungkin kini sedang muncul dalam semua media perdana BN sejak enam minggu lalu dan bukannya digelapkan terus seperti yang berlaku sekarang.

“Walaupun sepanjang tiga hari lalu merupakan hari paling sukar buat DAP di dalam sejarah parti, tiada seorang pun Ahli Jawatankuasa Tertinggi Parti (CEC) menyesal melakukan apa yang betul – untuk merendah diri dan menegakkan kejujuran serta ketelusan dengan mengakui secara terbuka kesilapan di dalam keputusan pemilihan CEC DAP, kejujuran sekalipun sukar dan menyakitkan untuk seketika namun akan berjaya untuk jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan Perhitungan Detik 95 hari ke PRU-13.

Menurutnya, pemimpin, ahli dan penyokong DAP tidak perlu rasa malu, bukannya seperti mereka yang berterusan bergelumang dengan pembohongan dan penipuan serta mengelak untuk berlaku jujur, bertanggungjawab dan telus.

Katanya, terdapat kebenaran pada pemerhatian penganalisa politik berpengalaman yang disampaikan oleh penasihat seumur hidup DAP, Dr Chen Man Hin bahawa “kritikan keras daripada BN adalah tindak balas terdesak musuh yang sedang menghitung hari. Mereka telah tewas dalam perlawanan politik, dan kini cuba menggapai apa saja untuk terus hidup”. – Roketkini.com