Berita

Najib didesak jelas syarikat ‘kecil’ dapat projek lebuhraya tanpa tender terbuka

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didesak menjelaskan bagaimana sebuah syarikat ‘kecil’ boleh mendapatkan projek Lebuhraya Pantai Barat (WCE) yang bernilai RM5.2 bilion.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua berkata, syarikat tersebut hanya bermodal 0.2 peratus daripada nilai kos projek dan ia cuma menjana keuntungan sekitar RM19.8 juta dan RM27.7 juta pada 2012 dan 2011.

“Sudahlah tanpa tender terbuka, syarikat bertanggungjawab menjalankan projek itu, Kumpulan Europlus (KEURO) Bhd juga diberi manfaat tambahan iaitu pinjaman mudah selama 22 tahun sebanyak RM2.24 bilion dengan faedah empat peratus ditambah pula dengan subsidi faedah sehingga tiga peratus,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Sambil mempertikaikan mengapa kerajaan seolah bermati-matian untuk memberi projek itu kepada syarikat terbabit, Pua berkata, kerajaan sepatutnya mendedahkan terma perjanjian kontrak berkenaan.

“Ini tidak telus kerana dengan mengetahui terma dan perjanjian, kita dapat mengetahui tanda aras kepada kos sebenar projek lebuhraya itu, harga tol yang akan dikena dan sebagainya,” katanya.

Kos pembinaan meningkat 72.5 peratus

Selain isu yang disebutkan itu, satu lagi persoalan besar diketengahkan Pua ialah membabitkan peningkatan kos pembinaan lebuhraya terbabit.

“Bagaimana kos Lebuhraya Pantai Barat itu boleh meningkat 135 peratus daripada RM3.015 bilion kepada RM7.07 bilion manakala tempoh konsesinya dipanjangkan daripada 33 kepada 66 tahun

“Walaupun rundingan lanjut antara kerajaan dengan syarikat konsesi selepas itu menyebabkan sedikit penurunan kepada RM5.2 bilion iaitu 72.5 peratus lebih tinggi daripada nilai asal projek, ia adalah atas desakan dan penelitian Pakatan Rakyat (PR),” ujar beliau.

Dengan merujuk kepada laporan The Edge Financial Daily, Pua menyebut akan ada klausa bagi penamatan awal pemegang konsesi jika mereka mendapat pulangan lebih daripada jangkaan dan mendapatkan kembali kos pembinaan.

“Ini adalah antara usaha PR menyelamatkan berbilion wang pembayar cukai.

“Walaupun, pelaksanaan ini masih jauh menepati sasaran di bawah Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang mempromosikan ketelusan dan akauntabiliti, rakyat tetap membayar lebih kerana tidak melaksanakan tender secara terbuka,” katanya.

Pua memberi contoh, bagaimanaa kerajaan Pulau Pinang menganugerahkan projek Penang People’s Park dan Subterranean Penang International Convention Exhibition (SPICE) 15 bulan lalu yang dilakukan secara tender terbuka.

“Apa yang menjadikan kerajaan PR “bersinar” ialah perjanjian konsesi didedahkan kepada rakyat.

“Oleh itu saya meminta Najib belajar daripada kerajaan negeri Pakatan Rakyat sebagaimana manifesto untuk memastikan semua projek melalui tender terbuka yang kompetitif bagi menghapuskan unsur rasuah dan memastikan ketelusan.-Roketkini.com