Berita

Jika BN yakin menang, Najib dicabar tentukan tarikh PRU-13

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak perlu lagi berdolak- dalik mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) jika UMNO begitu yakin sudah menghentikan tsunami politik 2008 serta mendapat semula majoriti dua pertiga di Parlimen.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata selain itu kepimpinan UMNO/BN juga yakin akan merampas semula lima negeri yang dimenangi Pakatan Rakyat pada PRU 2008.

“Ujian paling besar terhadap kenyakinan UMNO itu adalah Najib juga hendaklah mengisytiharkan bahawa UMNO/BN akan menerima keputusan pengundi termasuk pertukaran kerajaan di Putrajaya,” katanya dalam kenyataan media Pengiraan Detik 94 Hari PRU-13, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, ini adalah soalan yang berulang kali ditujukan kepada Najib di dalam dan di luar Parlimen sepanjang empat tahun lalu, akan tetapi Najib terus mengelak dan ternyata berbeza pengisytiharannya bahawa beliau mahu Malaysia menjadi “demokrasi

Sebelum ini, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan mengisytiharkan Perdana Menteri Seri Najib Razak sudah menghentikan “tsunami politik” 2008 dengan pelbagai ikrar dan program transformasi sejak April 2009.

Ahmad juga tahun lalu yakin Barisan Nasional akan mendapatkan semula 20 kerusi Perlimen yang dipegang Pakatan Rakyat untuk memperoleh majoriti dua pertiga Parlimen pada PRU-13 iaitu mengekalkan 140 kerusi Parlimen yang dimenangi dan merampas lima daripada 23 kerusi yang dimenangi PAS, lima daripada 29 yang dimenangi DAP dan 10 daripada 31 kerusi PKR.- Roketkini.com