Berita

Isu kalimah ALLAH: PAS kekal pendirian, berpegang pada al-Quran

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kesal terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana menjadikan kalimah Allah isu yang sengaja dipolemik, disensasi oleh media arus perdana kawalan mereka dalam kempen politik terdesak.

Menurutnya, sikap tidak bertanggungjawab itu boleh mewujudkan salah faham, kekeliruan dan ketegangan penduduk pelbagai agama dalam masyarakat majmuk negara ini.
“PAS mempunyai pendirian yang konsisten dalam isu ini seperti mana dalam kenyataan media saya pada 4 Januari 2010.

“Saya juga mengemukakan kertas kajian dalam seminar anjuran Institut Kefahaman Islam (IKIM) pada 2010 yang diterbitkan sebagai buku kecil yang bertajuk, “Allah: Kalimah yang Benar, Tujuan Yang Salah” pada Januari 2010 lalu,” jelas beliau.

Menurutnya, kalimah “Allah” tidak wajar disalahgunakan oleh pihak lain terhadap masyarakat Islam sehingga menimbulkan kekeliruan.

“Bagaimanapun Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah “Allah” dalam amalan mereka, walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran.

“Kalimah “Allah” adalah satu perkataan yang mengikut maksud asal bahasa al-Quran iaitu “Dia Sahaja Tuhan Yang Maha Esa”, dan tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat,” jelas Ahli Parlimen Marang itu.

Rasional kenyataan Abdul Hadi itu bersandarkan kepada ayat suci al-Quran yang menyatakan bahawa penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam.

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutu dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain (Para paderi, sami dan pemimpin) untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah”. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang islam” surah Ali-Imran ayat 64.

Isu kalimah Allah yang dimainkan pimpinan UMNO-BN dan media kawalan mereka dilihat sebagai tindakan terdesak untuk mengaburi pelbagai isu dan skandal rasuah yang tidak boleh disembunyikan lagi.

Justeru itu, pemimpin PR menyeru rakyat Malaysia pelbagai kaum supaya berhati-hati dan tidak terpancing dengan dakyah propaganda sentimen agama yang dimainkan untuk mencetuskan kekeliruan dan mungkin ketegangan kaum.-Roketkini.com