Berita

Kit Siang: Najib patut bubar Parlimen 8 Mac ini

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Datuk Seri Najib Razak sepatutnya membubarkan Parlimen mengikut berakhirnya tempoh lima tahun penggal Parlimen, bukannya mengikut Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri yang tidak dipilih rakyat 50 hari lagi.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan menyebut: “Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun daripada tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar.”

Katanya, Parlimen ke-12 dipilih pada 8 Mac 2008 iaitu hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) dan mesyuarat pertama Parlimen diadakan pada 28 April, 2008.

“Mengikut Perkara 55(3), melainkan Parlimen dibubarkan lebih awal, Parlimen ke-12 akan terbubar dengan sendirinya pada 27 April 2013,” katanya dalam kenyataan media Pengiraan Detik 93 hari menjelang PRU-13.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, berkata Najib Razak adalah Perdana Menteri ke-6 Malaysia tanpa mandat yang paling lama memerintah iaitu lebih lama berbanding empat Perdana Menteri sebelumnya iaitu Tun Abdullah, Tun Mahathir, Tun Hussein dan bapanya Tun Razak.

Beliau berkata, Naijb sepatutnya membubar Parlimen pada 8 Mac ini sebaik berakhirnya penggal lima tahun Parlimen, bukannya menggunakan Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan dia menjadi Perdana Menteri yang tidak dipilih selama 50 hari lagi.

Katanya, Najib bertindak mengikut Perlembagaan sedangkan tidak ada Perdana Menteri sebelum ini yang berbuat demikian untuk memanjangkan penggalnya tanpa mendapat mandat baru rakyat.

“Sedangkan pemimpin UMNO sudah mencanang ke seluruh negara bahawa Najib sudah menghentikan “tsunami politik” 2008 atau cakap cakap besar itu cuma omong kosong dan retorik palsu, sepertimana dakwaan UMNO/BN mampu merampas kembali 20 kerusi Parli
men yang dipegang Pakatan Rakyat untuk mendapatkan kemenangan majoriti dua pertiga Parlimen pada PRU-13 serta menawan semula kerajaan negeri PR di Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Kedah,” katanya. – Roketkini.com