Berita

#KL112: Himpunan Kebangkitan Rakyat pada Sabtu ini dijamin aman

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Penganjur Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) yang turut dihadiri wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Stadium Merdeka di sini pada Sabtu ini memberi jaminan tidak akan berlaku huru-hara, sebaliknya akan berlangsung secara aman dan tenteram.

Pengerusi penganjur himpunan itu, Mohamad Sabu berkata, pihaknya sudah menerima kebenaran daripada Stadium Merdeka untuk mengadakan perhimpunan itu.

Katanya, pihak penganjur akan memaklumkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, mengenai kesediaan Stadium Merdeka membenarkan lokasi itu digunakan bagi perhimpunan berkenaan.

Menurutnya, penganjur juga akan menghantar wakil untuk bertemu Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Zainuddin Ahmad esok bagi menyelaras kerjasama berhubung perhimpunan itu.

Beliau menambah, polis tidak meletakkan syarat melarang orang ramai membawa kain rentang pada perhimpunan itu dan pihaknya memberi jaminan akan bekerjasama dengan pasukan keselamatan.

“Polis juga tidak akan membuat sekatan jalan raya. Polis memberi jaminan tidak akan ada halangan. Dan kita ada wakil untuk bantu orang ramai ke stadium,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut di sini, petang tadi.

Menurutnya, pihak penganjur yang menerima kebenaran daripada pihak Stadium Merdeka kira-kira jam 2.30 petang tadi, akan mengadakan perbincangan susulan esok bagi memutuskan peraturan keselamatan dan syarat dikenakan.

“Dalam surat berkenaan, pihak stadium menetapkan syarat agar penganjur membayar deposit RM75,000 untuk penggunaan stadium itu dan kita juga akan berunding mengenai perkara itu,” katanya.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden PAS memberi jaminan tidak akan berlaku huru-hara sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh para pecacai UMNO-BN termasuk akhbar perkauman Utusan Malaysia yang telah banyak kali kalah saman fitnah.

Beliau berkata, kira-kira 10,000 petugas, termasuk 5,000 anggota Unit Amal PAS dengan kerjasama polis akan mengawal keselamatan sepanjang perhimpunan itu, baik di dalam atau luar stadium bagi memastikan ia berjalan lancar dan aman.

Menurutnya, penganjur tidak akan mengadakan perarakan, sebaliknya hanya berjalan secara beramai-ramai dari pelbagai destinasi di ibu kota menuju ke Stadium Merdeka.

“Himpunan ini akan memberi isyarat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pengamal media kerajaan supaya menunaikan tuntutan rakyat. Kita tak mahu ambil alih (negara) melalui pertumpahan darah,” katanya.

Ahli sekretariat perhimpunan itu, Liew Chin Tong, berkata beliau bagi pihak DAP mengalukan keputusan pihak Stadium Merdeka membenarkan perhimpunan rakyat itu diadakan Sabtu ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera berkata, kejayaan untuk mengadakan himpunan menyedarkan hak rakyat ini adalah hasil perjuangan tiga himpunan Bersih sejak 2007.

Berikutan itu, beliau berharap semua ahli dan penyokong DAP dan Pakatan Rakyat serta masyarakat madani turun beramai-ramai menyertai perhimpunan bersejarah yang menunjukkan kebangkitan rakyat yang mahukan keadilan.

Katanya, pimpinan DAP akan turut serta pada perhimpunan itu termasuk Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Selain ucapan pemimpin politik dan NGO, pihak penganjur akan membaca deklarasi Himpunan Kebangkitan Rakyat dan diakhiri dengan bacaan doa oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Sehari sebelum itu, iaitu pada Jumaat ini, DAPSY, Pemuda PAS dan AMK PKR akan mengadakan majlis pra-perhimpunan di Kampung Medan, Petaling Jaya Selatan dan di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru di sini. – Roketkini.com