Berita

Adakah Kementerian Pelajaran beri A kepada pelajar untuk capai sasaran KPI?

KUALA LUMPUR, 10 JAN: DAP mahu Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan mengenai kemerosotan teruk tahap piawaian pendidikan dan peperiksaan di Malaysia berdasarkan laporan dan kajian Trends in Mathematics and Science Study (TIMSS).

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua dan Pengarah Strategi DAP, Dr Ong Kian Ming dalam kenyataan bersamanya berkata, laporan yang didedahkan TIMSS menunjukkan perbezaan pencapaian yang sangat ketara berbanding laporan yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran.

“Adakah Kementerian Pelajaran memberi A kepada pelajar kita sekadar untuk mencapai sasaran Kuantitatif Indeks Prestasi (KPI) kerajaan atau sememangnya pelajar kita benar-benar memenuhi piawaian “A” yang sebenar?

“Berdasarkan keputusan yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran, 28.8 peratus pelajar kita berjaya mendapat skor A dalam subjek Matematik manakala 23.7 peratus bagi subjek Sains,” kata mereka.

Menurut Pua dan Kian Ming, apabila keputusan PMR dibandingkan dengan laporan TIMSS 2011, hanya dua peratus pelajar Malaysia mendapat skor “Sangat Baik” dalam Matematik manakala 10 peratus yang lain memperoleh skor “Tinggi.”

“Begitu juga dalam subjek Sains, hanya satu peratus dan 10 peratus daripada pelajar berumur 15 tahun di Malaysia berjaya mencapai skor “Sangat Baik” dan “Tinggi” masing-masing,” jelas mereka.

Mereka juga bimbang perbandingan pada 1999 di mana 36 peratus pelajar berumur 15 tahun mendapat skor “Sangat Baik” atau “Tinggi”, manakala hanya 12 peratus dicapai pada 2012.

“Persoalannya adakah piawaian peperiksaan negara ini ditetapkan rendah di mana 28.8 peratus pelajar mendapat skor A bagi subjek Matematik walaupun masih jauh daripada piawaian antarabangsa.

“Berdasarkan perbandingan dan kajian fakta itu, prestasi pencapaian akademik pelajar kita tidak boleh diterima, Kementerian Pelajaran dan kerajaan seolah-olah menggagalkan pendidikan pelajar di Malaysia,” kata mereka mengikut kenyataan itu.

Selain perbandingan melalui kajian yang dilakukan, Muhyiddin juga didesak menyemak semula sistem peperiksaan dan sukatan pelajaran negara ini supaya piawaian pendidikan bagi pelajar meningkat.

Berikut adalah jadual yang menunjukkan perbezaan pencapaian pelajar Malaysia dalam subjek Matematik dan Sains oleh TIMSS.

Prestasi Pelajar Malaysia Dalam Matematik (TIMSS 1999 hingga 2011)

Matematik 1999 (%) 2003 (%) 2007 (%) 2011 (%)
Sangat baik (625) 10 6 2 2
Tinggi (550) 26 24 16 10
Sederhana (475) 34 36 32 24
Rendah (400) 23 27 32 29
Bawah Par (<400) 7 7 18 35

 

Prestasi Pelajar Malaysia Dalam Sains (TIMSS 1999 hingga 2011)

Sains 1999 (%) 2003 (%) 2007 (%) 2011 (%)
Sangat baik (625) 5 4 3 1
Tinggi (550) 19 24 15 10
Sederhana (475) 35 43 32 23
Rendah (400) 28 24 30 28
Bawah Par (<400) 13 5 20 38

Menurut kajian TIMMS yang dijalankan setiap empat tahun oleh Pusat Kajian Antarabangsa Sekolah Pendidikan Lynch berpusat di Boston,  negara seperti Korea Selatan, Singapura, Taiwan, Hong Kong dan Jepun mendahului kedudukan terbaik bagi kedua-dua mata pelajaran Matematik dan Sains.

Manakala, selain Malaysia, negara yang turut merosot dalam kedua-dua subjek Sains dan Matematik termasuk Hungary, Macedonia, Norway, Sweden, Thailand, Jepun, Jordan, Romania dan Tunisia.-Roketkini.com