Berita

HKR #112 : Panduan penting untuk peserta Himpunan Kebangkitan Rakyat

KUALA LUMPUR, 11 JAN: Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka, esok adalah himpunan aman, bagaimanapun peserta disaran mengikuti garis panduan dan langkah tertentu bagi menjamin keselamatan dan kelancaran perhimpunan itu.

APA YANG PERLU DIPAKAI
-Pakaian yang selesa untuk bergerak termasuk alas kaki/kasut yang sesuai.
-Pakaian bersih dalam beg untuk ditukar jika berlaku semburan bahan kimia.
-Baju hujan yang boleh melindungi diri daripada cecair kimia (jika ada) termasuk pelindung kepala dan cermin mata keselamatan (shatter resistant eye protection).

APA YANG PERLU DIBAWA
-Bawa air mineral/minuman Isotonik. Pihak penganjur mencadangkan 2 hingga 3 botol air mineral 500 ml.
-Sapu tangan bersaiz besar atau tuala kecil. Basahkan dan tutup mulut/hidung dengannya sekiranya gas dilepaskan.
-Bawa makanan seperti coklat, snek makanan ringan.
-Jika anda ada masalah kesihatan serius seperti jantung dan paru-paru, kami menasihati anda mengelakkan diri daripada menghadiri perhimpunan ini.
-Jika anda ada masalah kesihatan yang terkawal dan mahu menyertai perhimpunan, pastikan bawa ubat-ubatan preskripsi anda untuk bekalan sekurang-kurangnya sehari termasuk alat inhaler untuk penghidap asma.
-Topeng muka (surgical mask) boleh dibawa.
-Bawalah wang saku mencukupi untuk makanan, pengangkutan, telefon dan sebagainya sekadar perlu.

PERKARA YANG PERLU DAN JANGAN
Rehat, makan dan minum secukupnya sebelum perhimpunan. Walaupun kita berniat untuk berhimpun secara aman, kita tidak dapat mengagak tindak balas daripada mereka yang cuba menghalang perhimpunan itu.
-Sertailah perhimpunan secara berkumpulan dengan rakan/keluarga yang mengenali anda, dan mengetahui masalah kesihatan anda sekiranya ada. Jangan bergerak bersendirian.
-Jangan pakai pelembap kulit berasaskan minyak kerana ia boleh mengakibatkan bahan kimia terperangkap lama.
-Jangan pakai kanta pelekap (contact lenses) yang juga boleh memerangkap bahan kimia di mata.

PERLINDUNGAN DARIPADA GAS PEMEDIH MATA/BAHAN KIMIA (Jika ada)

Tanda-tanda terkena bahan kimia:
* Pedih di mata, hidung, mulut dan kulit
* Pandangan kabur dan air mata keluar berlebihan
* Cecair hidung keluar secara berlebihan
* Batuk dan sesak nafas
* Pening

Tanda-tanda di atas hanya sementara. Ketidakselesaan pada mata akibat gas pemedih mata akan hilang selepas 5-30 minit, manakala kesan ‘pepper spray’ memerlukan 20 minit hingga 2 jam.

Bagaimana menghadapinya?
BERTENANG. Jangan panik. Ingat, ia hanya kesan sementara.
-Hembus hidung, kumur mulut & elakkan daripada menelan. “JANGAN SAPU MUKA”
-Sekiranya gas pemedih mata dilepaskan, cuba elak daripada mengikut arah angin.
-Sila dapatkan bantuan sukarelawan ‘Pasukan Perubatan’ yang berada di sekitar kawasan perhimpunan dengan segera sekiranya anda memerlukan bantuan perubatan.
-Jika anda seorang pengamal perubatan, bantuan anda kepada yang memerlukan amat dihargai.

* Maklumat ini sekadar panduan kepada peserta. Ia hanya maklumat umum, dan tidak sepatutnya menafikan pandangan pakar perubatan yang merawat anda, atau pakar perubatan lain.

*Segala risiko kesihatan yang mungkin berlaku ketika perhimpunan adalah atas tanggungjawab anda sendiri.-Roketkini.com