Berita

Krisis air di Lembah Klang: SPAN, Puncak Niaga, SYABAS harus dipersalah

KLANG, 12 JAN: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dipertikai kerana tidak bertindak dalam menyelesaikan krisis bekalan air yang dihadapi kira-kira 100,000 penduduk sekitar Lembah Klang yang dikatakan berpunca daripada kerosakan pam air.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, SPAN sepatutnya bertanggungjawab mengawal selia syarikat konsesi air, seperti Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan Puncak Niaga Holdings Bhd, bukan melepas tangan.

“SPAN mengadakan audit tahunan ke atas Puncak Niaga dan sudah tentu mereka  tahu mengenai masalah yang dihadapi itu.

“Persoalannya, adakah mereka menggesa Puncak Niaga untuk menaiktaraf atau mengganti dengan pam air baru atau meminta menyelenggara dengan baik setiap pam air,” katanya dalam sidang media baru-baru ini.

Sehubungan itu, Santiago turut mendesak SPAN untuk membentangkan laporan audit terkini mereka bagi memastikan insiden membebankan rakyat itu tidak berulang.

Menurut beliau, krisis bekalan air itu adalah tanggungjawab penuh SPAN, Puncak Niaga dan SYABAS, bukannya kerajaan negeri.

“SPAN adalah badan yang mengawal selia semua 34 loji rawatan air yang dikendalikan Puncak Niaga dan SYABAS supaya sentiasa dalam keadaan baik dan tidak bermasalah.

“Sekiranya SPAN bertangungjawab memastikan Puncak Niaga membaiki kerosakan pam air di Wangsa Maju, sudah tentu masalah ‘yang dicipta’ itu tidak akan berlaku,” katanya.

Gangguan bekalan air yang berlaku di beberapa kawasan sekitar Lembah Klang bermula sejak Disember lalu menyebabkan media kawalan BN mempolitikan isu itu dengan memburuk dan menyalahkan Kerajaan Negeri Selangor atau mungkin ia sengaja ‘disabotaj’ supaya rakyat bangkit membantah dan tidak menyokong Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum nanti.-Roketkini.com