Rencana

Deklarasi Himpunan Kebangkitan Rakyat #KL112

Deklarasi Himpunan Kebangkitan Rakyat  #KL112

BAHAWASANYA, muafakat asas Kebangkitan Rakyat hari ini meletakkan Perlembagaan Persekutuan sebagai kompas perjuangannya.

Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) KL112 yang diadakan di Stadium Merdeka dan dihadiri kira-kira 100,000 peserta beriltizam untuk mengalih hala tuju negara dan bangsa ke landasan yang betul setelah berdekad diruntun salah guna kuasa, rasuah dan politik perkauman.

Deklarasi Himpunan Kebagkitan Rakyat pada 12 Januari itu dipimpin oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan diikuti peserta di dalam stadium sebelum perhimpunan itu bersurai.

“Maka kami, yang berhimpun di sini, mewakili anak semua kaum pada petang ini, dengan penuh iltizam, dan berteraskan falsafah bahawa tidak ada warga daripada mana-mana bangsa, agama, jantina atau fahaman politik akan disisih atau diabaikan daripada sudut sosial dan ekonomi, mengajukan tuntutan seperti berikut:

Pertama: Kami menuntut pilihan raya yang bersih, adil dan telus yang merangkumi media yang bebas;

Kedua: Kami menuntut agar prestasi, wibawa dan reputasi Felda diselamatkan demi menjamin kedudukan ekonomi dan pemilikan tanah warga peneroka;

Ketiga: Kami menuntut Sabah dan Sarawak diiktiraf adil-setara dengan Semenanjung Malaysia;

Keempat: Kami menuntut 20% daripada hasil royalti minyak dikembalikan kepada negeri yang menjadi pengeluar petroleum;

Kelima: Kami menuntut kerajaan mengiktiraf dan meningkatkan profesionalisme, menjamin kebajikan dan melindungi masa depan kakitangan awam termasuk guru-guru dan anggota keselamatan;

Keenam: Kami menuntut kehidupan dengan persekitaran alam yang bersih dan menyihatkan;

Ketujuh: Kami menuntut agar bahasa kebangsaan dimartabatkan dan bahasa ibunda kembali dijulang dan bahasa Inggeris dipertingkatkan di dalam sistem pendidikan negara serta pendidikan percuma untuk semua anak Malaysia;

Kelapan: Kami menuntut pembebasan semua tahanan politik yang ditahan tanpa keadilan;

Kesembilan: Kami menuntut agar kampung-kampung tradisi dan tempat-tempat warisan dipelihara, dilindungi dan dipertahankan serta

Kesepuluh: Kami menuntut kehidupan yang lebih baik untuk wanita sebagaimana termaktub di dalam Agenda Wanita Malaysia”.

“Dengan ini, kami yang berhimpun sesungguhnya berikrar dan bersetia untuk meneruskan perjuangan  sehingga semua tuntutan kami didengar dan dipenuhi,” katanya. – Roketkini.com