Berita

Pembohongan media perdana petanda Najib bakal musnah, BN disingkir

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, pembohongan, tidak jujur dan tidak profesional yang terus dilakukan media perdana adalah petanda kedudukan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri bakal musnah dan UMNO/BN akan disingkir dari Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Katanya, sudah berminggu media perdana BN melakukan “Pembohongan Besar” mengenai KL112 dan masih diteruskan walaupun sudah dihancurkan lumat sebagai laporan tidak berasas dan tidak benar.

“Bukan sahaja ironi, malah sukar dipercayai bahawa pada malam KL112, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadi tuan rumah Malam Penghargaan Media Perhimpunan Agung UMNO 2012 dan bercakap mengenai kepentingan media kepada UMNO.

“Rakyat yang berfikiran rasional dan bebas, termasuk empat juta pengundi pertengahan akan menentukan sama ada BN atau Pakatan Rakyat akan membentuk kerajaan Persekutuan di Putrajaya pada PRU-13, tentu akan tertanya adakah Najib betul-betul berpijak di bumi nyata atau sedang hidup dalam dunianya sendiri.

“Apa yang Najib katakan mengenai media beberapa jam selepas KL112, yang menjadi titik penting demokrasi yang sedang matang, di luar alam nyata,” katanya dalam kenyataan media sempena Pengiraan Detik 87 hari ke PRU-13, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Najib dengan selamba meminta media berperanan sebagai orang tengah dalam menyampaikan kehendak dan masalah orang ramai kepada kerajaan dan melaporkan rungutan dan kritikan terhadap kerajaan untuk membolehkan penambahbaikan dijalankan sedangkan media perdana BN sama ada media cetak atau elektronik atau atas talian, rasa tidak bersalah melakukan sesuatu yang sebaliknya, tidak menyesal walaupun melakukan pembohongan mengenai Pakatan Rakyat.

Menurutnya, media perdana BN (MSM) juga mengalami kekalahan teruk apabila KL112 dilaksanakan dengan berjaya dan aman, sebab itu Malaysiakini di dalam “KL112: Winners and losers” menyenaraikan media perdana sebagai satu daripada tiga yang “tewas” selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan UMNO/BN manakala The Malaysian Insider menerbitkan rencana editorial yang bertajuk: “Mainstream media’s epic fail”.

“Walaupun Najib berhak diberi tepukan kerana tidak membenarkan penyokong tegar UMNO/BN dan polis menggagalkan KL112 dan berdepan kebencian ramai seperti pada perhimpunan Bersih 2.0 dan 3.0 sebelum ini, beliau masih belum dapat memberi imej Perdana Menteri yang tegas, serius dan cekap serta komited kepada pelbagai program transformasi yang diumumkan.
“Tindakan media perdana BN itu menyebabkan tanjauan Merdeka Centre Disember lalu mendapati kedudukan populariti Najib jatuh ke tahap paling rendah iaitu 63% pada Disember 2012 berbanding 69% pada Februari 2012 – sementara hanya 52 peratus daripada pengundi mengatakan negara ini menuju ke arah yang betul, paling rendah sejak Mei 2010,” tambahnya.

Menurutnya, Perdana Menteri sebelumnya Najib, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendapat kedudukan lebih baik sebelum PRU Mac 2008 berbanding Najib namun gagal menyelamatkan Abdullah.

Beliau berkata, populariti Abdullah menjunam daripada 91% selepas PRU 2004 kepada 61% pada Disember 2007 (yang mana masih lebih tinggi daripada populariti Najib pada kedudukan 52% pada Disember 2012) manakala 63% pengundi merasakan negara menuju ke arah yang betul pada Disember 2007 (dibandingkan dengan 52% pada Disember 2012).

“Walaupun kedudukan Najib menjunam ke tahap paling rendah tahun lalu, Merdeka Centre juga melaporkan tahap tidak puas hati sampai ke tahap tertinggi di dalam empat tahun pemerintahan Najib, pada 30% berbanding 28% pada Oktober 2012 dan 16% pada Mei 2009.

“Patut diberi perhatian juga penemuan Merdeka Centre bahawa ketika kedudukan sokongan terhadap Najib tergelincir 63 peratus, pemerintahannya dan BN mengekori jauh di belakang 47 peratus dan 45 peratus.

“Dengan Najib mendapat kedudukan rendah dalam kedua-dua mata berbanding Abdullah sebelum PRU 2008, kedudukan populariti Perdana Menteri atau persepsi pengundi sama ada negara ini sedang menuju ke arah yang betul, tidaklah mengejutkan terdapatnya pemimpin UMNO yang begitu pesimis terhadap peluang UMNO/BN pada PRU-13,” katanya.

Malah Menteri Besar Johor, Datuk Seri Ghani Othman, menurut Kit Siang, secara terbuka meramalkan Pakatan Rakyat mampu menang PRU-13 dengan majoriti tipis 5% hingga 10% kerusi Parlimen – iaitu majoriti 12 hingga 22 kerusi.

Kit Siang berkata, sekiranya senario yang digambarkan Ghani itu menjadi kenyataan, satu daripada puncanya kerana kurangnya kepercayaan orang ramai dan kewibawaan media perdana BN yang menjadi bukti jelas kepada semua rakyat Malaysia, terutama empat juta pengundi golongan pertengahan, betapa UMNO/BN tidak mungkin insaf kerana tidak mampu langsung berubah melainkan dihantar ke bangku Oposisi di Parlimen. – Roketkini.com