Berita

Apabila mahasiswa dilayan seperti budak sekolah

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Kerajaan Barisan Nasional (BN) diingatkan tidak melayan pelajar universiti di negara ini seperti “budak sekolah menengah”melalui program “brain-washing” di semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Setiausaha Organisasi DAP Selangor, Lau Weng San, berkata kerajaan perlu bersikap profesional, memberi penghormatan, kebebasan dan hak kepada pelajar universiti untuk menyampaikan pandangan merekai.

Kenyataan ini didedah satu video klip panas Youtube yang berlegar di ruang maya memaparkan pertengkaran antara seorang mahasiswa jurusan Undang-undang tahun kedua Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan seorang panelis, Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin dalam satu forum yang diadakan pada 8 Disember 2012 lalu.

Lau berkata, forum itu bertukar panas apabila menjadi medan politik kerana panelis mencemar nama beberapa tokoh pemimpin Bersih seperti Datuk S. Ambiga dan Datuk A. Samad Said.

“Panelis Sharifah Zohra Jabeen bertukar menjadi seorang yang cuba memaksa pelajar universiti di bawah pentas untuk menerima pandangannya secara unilateral.

“Cara ditunjuk Sharifah Zohra Jabeen itu adalah autokratik dan merupakan satu pencabulan hak terhadap pelajar universiti dalam menyampaikan pendapat mereka dengan bebas,” ujar beliau.

Dalam insiden itu, Sharifah Zohra Jabeen bertindak kebudak-budakan apabila turun ke bawah pentas dan merampas mikrofon daripada KS Bawani yang sedang berucap.

Sambil menyifatkan program seperti itu tidak ada kaitan untuk meningkatkan prestasi akademik atau pembangunan sahsiah pelajar, sebaliknya ia jelas bermotif politik dan menyebarkan dakyah parti pemerintah.

Sehubungan itu, Lau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku itu berkata, mahasiswa negara ini pernah dipaksa menandatangani surat akujanji untuk tidak terbabit dengan politik.

“Sekarang kita lihat sebaliknya, IPTA pula dijadikan medan politik yang cuba dimonopoli Barisan Nasional dengan bantuan jentera kerajaan seperti Biro Tata Negara (BTN) bertujuan  mengukuhkan kedudukan mereka yang goyah.

“Biar mahasiswa-mahasiswi bebas menentukan pilihan mereka.Tugas kerajaan dan pentadbiran universiti adalah membuka dan memberi ruang kepada siswa mengeksplorasi kepelbagaian dan perbezaan,” ujar beliau.-Roketkini.com