Rencana

Belek – Himpunan Sekampit Beras?

DI MEDIA  sosial, gambar Himpunan Kebangkitan Rakyat #KL112 melihatkan kehadiran ratusan ribu manusia tersebar kencang. Bertungkus lumus media perdana dan propagandis UMNO-BN cuba membodohkan rakyat bahawa yang hadir cuma beberapa kerat. Lebih lucu apabila ada yang masih menyiarkan gambar sebelum acara bermula. Kesian mereka.

Bersungguh mahu rakyat percaya padang di Stadium Merdeka pun tak penuh! Mereka ingat ini zaman ambil gambar, bawa keluar filem, hantar kedai foto kemudian tunggu beberapa hari baru foto siap, agaknya?

Tapi mereka yang cuba memperlekehkan perjuangan rakyat telah lupa bahawa ada satu lagi gambar yang sedang ‘menyaingi’ kehebatan gambar #KL112. Ia adalah peristiwa yang dikatakan berlaku di perhimpunan Dataran Tesco Bandar Rincang, Semenyih, Selangor yang dihadiri Perdana Menteri baru-baru ini.

Terdapat gambar bas bersusun panjang dipercayai mengangkut peserta bagi memenuhkan tempat. Terdapat juga gambar rakyat yang diangkut dengan bas itu yang dikatakan diberi baju parti politik pemerintah.

Yang paling epik sekali, foto sebuah lori memunggah beras. Di tepi berkerumun orang susah mengharapkan beras. Menadah tangan mereka. Sekilas pandang macam orang Afrika kebuluran di depan lori Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Inikah Malaysia hari ini?

Pilu melihat gambar itu. Mungkin memang mereka orang susah dan tiada salahnya mereka mengharapkan pemberian itu. Walaupun semua maklum itu semua tidak lain untuk memancing ketaatan. Jijik orang yang seronok melihat orang susah dalam keadaan demikian.

Barisan Nasional tentu tersenyum dengan keadaan sebegitu kerana bagi mereka itu tandannya rakyat terpaksa bergantung kepada mereka. Selagi mana rakyat mengemis kepada mereka maka mereka berkuasa, kerana di tangan mereka ada banyak hadiah untuk ditaburkan.

Bandingkan senario itu dengan perhimpunan di Stadium Merdeka pada hari yang sama. Manusia tidak perlu diangkut untuk memenuhkan stadium. Dari segenap pelusuk negara rakyat bersusah-payah hadir sama ada dengan kenderaan sendiri atau pun pengangkutan awam. Sesetengahnya kongsi-kongsi menyewa bas agar dapat datang ke Kuala Lumpur.

Jujurlah, antara kedua-dua perhimpunan, yang mana satu mengembalikan maruah kepada manusia melalui jalan perjuangan, yang mana satu pula merenggutnya dengan menjadikan yang hadir seperti pengemis? – Roketkini.com