Berita

BN tinggal janji bina jejantas, PR jadikan realiti -Hannah Yeoh

SUBANG JAYA, 15 JAN: Lagi kes “Janji Dicapati” kerajaan BN terbongkar apabila mereka “melupakan” janji Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 untuk membina projek jejantas di Pesiaran Kewajipan di sini yang akhirnya disiapkan oleh Kerajaan PR Selangor menggunakan dana kerajaan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Hannah Yeoh, berkata pembinaan projek jejantas itu diumumkan pada satu sidang media oleh bekas ADUN BN ketika itu Datuk Lee Hwa Beng bersama calon bekas BN Subang Jaya, Ong Chong Swen.

“Bagaimanapun, apabila Datuk Lee Hwa Beng dan Ong Chong Swen tewas pada PRU 2008, saya sebagai ADUN Subang Jaya yang baru membuat susulan terhadap projek itu dengan Kementerian Kerja Raya.

“Kami dimaklumkan bahawa projek itu tidak akan diteruskan,” kata Yeoh yang juga Bendahari DAP Selangor.

Beliau berkata, kenyataan yang diterima beliau daripada Datuk Lee Hwa Beng sendiri memaklumkan bahawa jejantas itu adalah janji peribadi bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu yang juga tewas, projek jejantas itu tidak dibina.

Katanya, ini jelas tindakan BN menabur janji itu hanya untuk menagih undi bukannya mendahulukan kepentingan rakyat sebagaimana yang dilaungkan ‘Rakyat didahulukan, prestasi diutamakan’.

“Isu projek itu kemudiannya saya bawa kepada kerajaan PR Negeri Selangor walaupun ia bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Selepas empat tahun menunggu janji yang ditaburkan BN dan lebih 1,600 tandatangan diperoleh melalui petisyen pada Mei 2012, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersetuju menyiapkan projek itu menggunakan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM1.35 juta,” jelasnya.

Jejantas yang dibina demi keselamatan pejalan kaki penduduk sekitar dan demi kepentingan penggunaannya kepada pusat ibadat dan persatuan agama berdekatan iaitu Persatuan Penganut Buddha Subang Jaya, Kuil Hindu Sri Varatharajah Perumal dan Persatuan Sikh Subang.

Hannah berkata, dengan adanya jejantas ini, ia boleh dijadikan peringatan jelas kepada penduduk Subang Jaya bahawa slogan BN “Janji Ditepati” sekadar janji kosong semata-mata.

“BN hanya membuat janji , sebaliknya Pakatan Rakyat memenuhi dan menjadikan ia satu realiti,” ujar beliau. – Roketkini.com