Berita

Fitnah “bukan-Melayu”: Tunku Aziz jatuhkan martabat, hina semua Perdana Menteri

SELAYANG, 16 JAN: Jika Tun Dr Mahathir Mohamad dalam bukunya A Doctor in the House mengaku bahawa beliau berketurunan India tetapi boleh menjadi Melayu, maka pemimpin dan ahli UMNO sepatutnya sedar diri serta tidak perlu memandang rendah kepada mereka yang beribu atau berbapa bukan Melayu.

Sehubungan itu, Naib Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji membidas serangan peribadi Tunku Aziz Ibrahim yang menuduh Penolong Setiausaha Kebangsaan DAP, Zairil Khir Johari sebagai bukan Melayu.

“Saya bersimpati dengan Zairil akibat serangan peribadi itu kerana saya berbangga dengan ayahanda beliau yang terkenal sebagai tokoh politik zaman Tunku Abdul Rahman.

“Apapun tuduhan yang dilemparkan, Zairil sudah melakukan yang terbaik menjelaskan situasi ini kepada umum. Tanggungjawab Allahyarham Tan Sri Khir Johari membesarkan dan mendidik Zairil sebagai seorang Melayu dan Islam tidak boleh diketepikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Zairil juga sudah mengesahkan sebelum ini bahawa bapanya adalah Tan Sri Khir, orang Melayu dari Kedah manakala ibunya memang wanita dari keturunan Cina.

Fenomena “campuran” ini adalah biasa di Malaysia di mana jika dilihat pada Perdana Menteri sahaja, maka Tunku Abdul Rahman mempunyai pertalian darah dengan raja-raja Siam, Tun Razak berketurunan Bugis, Tun Hussein Onn berdarah Turki, Mahathir diketahui keturunan India, dan Tun Abdullah Badawi mempunyai campuran darah Arab dan Cina.

Fitnah Tunku Aziz serta para pecacai UMNO lain tidak sepatutnya berlaku kerana ia melanggar prinsip Perlembagaan, malah menghina semua Perdana Menteri yang mempunyai campuran keturunan bukan Melayu.

Menurut Tengku Zulpuri, sebagai individu yang digambarkan profesional dan berintegriti, Tunku Aziz menjatuhkan kedudukannya secara langsung apabila melakukan serangan peribadi dan terikut-ikut dengan mainan politik UMNO-Barisan Nasional (BN).

“Apapun yang berlaku, kita harus rujuk kembali kepada perlembagaan. Dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Melayu didefinisikan sebagai penduduk pribumi, bumiputera yang bertutur dalam bahasa Melayu, beragama Islam dan menjalani tradisi dan adat istiadat Melayu,” jelasnya.

Tambah beliau, daripada definisi budaya pula (cultural definition), Melayu itu merangkumi seluruh penduduk pribumi dari dunia Melayu iaitu Nusantara tanpa mengira agama, bahasa dan adat istiadat suku masing-masing.

“Di Malaysia, penduduk pribumi dari keturunan Minang, Bugis, Aceh, Jawa, Rawa, Mendailing dan lain-lain lagi yang bertutur dalam bahasa Melayu, beragama Islam dan mengamalkan adat istiadat Melayu semuanya dikategorikan sebagai Melayu.

“Bahkan, bukan Melayu yang berkahwin dengan Melayu dan memeluk Islam juga diterima sebagai Melayu,” katanya lagi.

Tanpa menafikan serangan terhadap Zairil yang sengaja dimainkan itu berkaitan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada Kongres DAP lalu, Tengku Zulpuri berkata, DAP sedang mengorak langkah ke hadapan memperbetulkan persepsi umum dan memecah tradisinya.

“Walaupun majoriti ahli DAP masih kaum Cina, hakikatnya, DAP adalah sebuah parti yang matang dan terbuka. Kami berjuang untuk semua kaum dan agama untuk keadilan bersama. Adakah itu salah?

“Sebagai orang Malaysia berketurunan Melayu, kita harus bertanyakan diri kita apa yang boleh kita bantu dan lakukan untuk menggalak penyertaan lebih ramai orang Melayu ke dalam parti dan memecah segala persepsi buruk terhadap DAP,” ujar beliau.- Roketkini.com