Berita

SAPP ditempelak dakwa DAP-PR tidak mampu selesai masalah rakyat Sabah

KOTA KINABALU, 21 JAN: SAPP ditempelak berikutan kenyataan Presidennya, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee bahawa DAP dan Pakatan Rakyat (PR) tidak mampu menyelesaikan masalah rakyat Sabah.

Penolong Setiausaha DAP Sabah, Junz Wong Hong Jun berkata, dakwaan bekas Ketua Menteri Sabah itu kelmarin ternyata meleset kerana PR khususnya DAP terbukti lebih banyak menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat Sabah.

“Lihat saja isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang disuarakan DAP sejak tahun 1980-an, kini kebenaran akhirnya terbukti.

“Sejak tahun 1980-an, saudara Lim Kit Siang sudah memberi amaran awal kepada rakyat Sabah mengenai masalah PATI yang akan timbul jika tidak dikawal. Kini, kenyataan itu terbukti benar, PATI telah menjadi ibu kepada hampir semua masalah di Sabah,” jelasnya yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan Pemuda DAPSY.

Selain itu, menurut Junz, antara usaha DAP membantu rakyat Sabah adalah bersama perjuangan penduduk setempat membantah pembinaan Empangan di Kampung Tambatuon, Kota Belud.

“Ramai yang masih ingat apabila tajuk utama akhbar di sini menulis SAPP menghantar petisyen kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman.

“Bagaimanapun, penduduk Kota Belud terus kehilangan tanah mereka apabila BN berkeras mahu projek empangan itu diteruskan,” kata Junz.

Katanya, tetapi apabila DAP dan pimpinan Pakatan Rakyat lain bersuara dan memperjuangkan isu ini, kerajaan BN Sabah memberi respon segera.

Junz berkata, apabila Lim Kit Siang mengunjungi Kampung Tambatuon mengadakan sesi dialog, pertemuan dan ceramah dengan penduduk kampung dan mengangkat isu ini sebagai isu nasional, dalam tempoh hanya setahun, kerajaan BN mengumumkan untuk menghentikan projek itu.

“Ini hanya beberapa contoh yang menunjukkan DAP – PR berjaya dan bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah rakyat Sabah.

“Jadi, bagaimana SAPP boleh secara semberono menuduh DAP tidak mampu menyelesaikan masalah rakyat Sabah walhal DAP boleh dikatakan menjuarai dan berjaya mengangkat masalah yang dihadapi rakyat negeri ini,” tambah beliau.

Menyimpulkan kenyataannya, Junz menegaskan DAP dan PR adalah parti oposisi yang jauh lebih baik daripada SAPP dalam menyelesaikan masalah berpanjangan yang dihadapi rakyat Sabah.

“Pakatan Rakyat Sabah memiliki kekuatan yang jauh lebih besar untuk mentadbir negeri itu dengan integriti, telus dan demokrasi yang lebih menyeluruh,” katanya. – Roketkini.com