Berita

Hukuman terhadap ADUN Pulau Tikus diringan

KUALA LUMPUR, 21 JAN: DAP membuat keputusan meringankan hukuman penggantungan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Koay Teng Hai daripada enam bulan kepada satu bulan berkuatkuasa mulai hari ini 20 Januari 2013.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP (CEC) yang diadakan hari ini.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Organisasi Kebangsaaan DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, hukuman yang dikenakan ke atas Koay sebelum ini berikutan kegagalan mematuhi arahan bertulis Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng supaya menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri pada 1 November 2012 lalu.

“Sebagai Ketua Kelab Penyokong Kerajaan DAP Pulau Pinang, Koay sepatutnya hadir  ke Persidangan DUN untuk mengundi bagi meminda perlembagaan negeri untuk meluluskan undang-undang anti lompat parti.

“Bagaimanapun, CEC hari ini membuat keputusan meringankan hukuman terhadap Koay berikutan surat rayuan dan permohonan maafnya kerana tidak menjalankan tanggungjawab itu,” jelas Ahli Parlimen Rasah itu.

Pada 11 Januari lalu, Jawatankuasa Lembaga Disiplin DAP yang dipengerusikan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai mengumumkan penggantungan Koay kerana gagal mematuhi arahan menghadiri mesyuarat Perhimpunan Negeri Pulau Pinang pada 1 Nov 2012 lalu. – Roketkini.com