Berita

UMNO akui gagal bela Melayu selepas 50 lebih tahun memerintah

JOHOR BAHRU, 21 JAN: UMNO terbukti gagal membela dan memperkasakan orang Melayu sejak lebih 50 tahun lalu apabila mereka sendiri menimbulkan isu survival Melayu walaupun puluhan tahun memerintah Malaysia.

Hakikatnya, kini orang Melayu semakin menguasai ekonomi bersaing secara positif bersama kaum lain dalam pasaran terbuka dan bebas di bawah pentadbiran yang mengamalkan Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT).

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Zairil Khir Johari berkata demikian dalam wacana bertajuk “Benarkah Melayu akan hilang kuasa tanpa UMNO?” anjuran Roketkini.com dan DAP Johor, Sabtu lalu.

Zairil berkata, dakwaan UMNO adalah bohong semata-mata sambil memberikan bukti kemajuan yang dikecapi orang Melayu di Pulau Pinang.

“Dulu UMNO beri projek kepada kroni mereka saja. Peniaga atau kontraktor Melayu yang lain tertinggal.

“Dalam tempoh cuma lima tahun pentadbiran Pakatan Rakyat, sekurang-kurangnya 70 peratus kontraktor Melayu dapat projek daripada kerajaan negeri tanpa amalan kronisme. Kerajaan negeri menghargai mana-mana kontraktor Melayu yang layak dan berbakat,” jelasnya.

Menurut Zairil, apabila kerajaan Pulau Pinang berjaya membuka peluang bersaing secara sihat, MCA pula menuduh DAP anti-Cina.

“Ketika dekat orang Melayu, BN tuduh DAP anti Melayu, dekat orang Cina, MCA tuduh DAP anti Cina. Yang mana satu ni?

“Tapi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng jawab, saya tidak anti mana-mana kaum, saya cuma anti rasuah!” katanya disambut tepukan gemuruh hadirin. – Roketkini.com