KUALA LUMPUR, 22 JAN: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menang saman fitnah RM50 juta terhadap Utusan Melayu (M) Bhd dan Ketua Pengarangnya, Datuk Abdul Aziz Ishak yang didapati bersalah memfitnah dalam satu laporannya awal tahun lalu berhubung satu temu bual yang disiarkan BBC.
Keputusan penghakiman oleh Hakim, Datuk VT Singham semalam mendapati artikel itu bersifat fitnah dan bertujuan menjatuhkan reputasi Anwar sebagai pemimpin politik.
Mahkamah menetapkan kos sebanyak RM45,000 manakala ganti rugi yang akan ditetapkan pada 15 Februari ini.
Utusan Malaysia dalam laporan muka depannya yang bertajuk “Tolak Anwar – Hasan” itu memetik kenyataan bekas pemimpin PAS, Datuk Hasan Ali yang mendakwa Ketua Umum PKR itu mempersoalkan undang-undang anti-homoseksual dan dikatakan mahu menghalalkan lesbian, gay, biseksual dan aktiviti transgender (LGBT) di negara ini.
Menurut Singham, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira fakta dan bukti yang dibentangkan sepanjang perbicaraan.
“Artikel itu adalah terpesong, tidak tepat dan di luar maksud yang diperkatakan.
“Mahkamah berpuas hati bahawa artikel itu adalah fitnah kepada plaintif,” kata Singham dalam penghakimannya.
Pada Jun 2012 tahun lalu, Anwar juga menang saman terhadap fitnah berhubung kenyataan Datuk S Nallakarupan kononnya beliau menerima wang sebanyak RM60 juta dari Anwar.
Saman RM100 juta yang difailkan pada 26 Mac 2012 itu turut menamakan Utusan Melayu (M) Bhd sebagai defendan kedua dan Ketua Pengarangnya, Datuk Abdul Aziz Ishak sebagai defendan ketiga.
Sehingga kini, Utusan Malaysia mencatatkan rekod panjang tewas dalam kes saman terhadapnya oleh pemimpin oposisi yang lain.
Antara kes saman fitnah yang dimenangi pemimpin Pakatan Rakyat, termasuk oleh Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh pada 2012, saman fitnah Datuk Seri Nizar Jamaluddin pada Ogos 2012, dua kali kes saman fitnah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Dengan segala bukti mahkamah yang mensabitkan kesalahan akhbar kawalan UMNO-BN itu, ternyata Utusan Malaysia tidak mempunyai etika dan tanggungjawab sebagai media yang boleh dipercayai. – Roketkini.com