Berita

Daftar pengundi tanpa pengetahuan pemilik MyKad, SPR dipersoal

GEORGE TOWN, 3 FEB: Ajaib! Mana mungkin nama seseorang yang belum mendaftar sebagai pengundi tiba-tiba didapati menjadi seorang pengundi berdaftar.

Hakikatnya, ia berlaku ke atas Sri Vaitheki, 25, anak kepada Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II Prof Dr P Ramasamy yang ketika ini sedang belajar di London.

Kejadian ini memperlihatkan SPR tidak peduli terhadap tuntutan membersihkan daftar pemilih Malaysia dan membuktikan seolah-olah wujud ‘kerjasama baik’ antara agensi awam itu dengan Barisan Nasional (BN).

“Bagaimana dan kenapa ia boleh berlaku? Anak saya mengakui beliau belum pernah mendaftar!

“Seseorang yang mahu mendaftar sebagai pengundi perlu membawa MyKad mereka, jadi, siapa pula yang mewakili anak perempuan saya untuk mendaftar?” soalnya pada sidang media di sini.

Menurut Ramasamy, perkara itu disedari ketika pulang ke rumah keluarganya di Kajang dan mendapati anaknya menerima sepucuk surat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertemakan ‘Sayangi Selangor’.

“Anak saya didaftarkan sebagai pengundi di Semenyih.

“Saya tertanya-tanya, kalau sekiranya mereka yang dikatakan ‘pengundi di luar negara’ tidak pulang mengundi, siapa pula yang akan mengundi untuk mereka?” katanya yang menimbulkan persoalan itu.

Ramasamy berkata, satu laporan polis akan dibuat pada masa sama mendesak SPR memberi bukti  siapakah yang mendaftarkan anak beliau sebagai pengundi dan mempersoalkan bagaimana ia boleh berlaku sedangkan Malaysia belum lagi melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik.

Ahli Partlimen Batu Kawan itu menyifatkan sebagai satu masalah yang serius dan dalam nada menyindir berkata, ini adalah satu lagi projek “Pendaftaran Pengundi Palsu” di bandar.

“Jika SPR tidak dapat membuktikan siapa yang mendaftarkan nama anak saya sebagai pengundi. Saya akan panjangkan perkara  ini untuk tindakan lanjut,” ujar beliau.

Katanya, dalam surat itu Perdana Menteri, Najib Razak mengucapkan Selamat Tahun Baru 2013 kepada  Sri Vaitheki  dan mengakui kesalahan yang dilakukan semasa pentadbiran BN serta menabur janji bahawa BN berhasrat memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

“Ini adalah satu tindakan kumpulan yang terdesak,” ujar beliau.

Laporan Roketkini.com pada 27 Januari lalu turut mendedahkan satu lagi kejadian yang hampir serupa berlaku apabila seorang pemilik rumah mendedahkan beliau menerima 28 surat daripada Barisan Nasional (BN) walaupun tidak mengenali penerima surat itu.

Paling mengejutkan apabila wujudnya 37 nama orang yang tidak dikenali didaftar menggunakan alamat sama setelah disemak dalam daftar pemilih. Perkara ini sekaligus menguatkan lagi laporan dan aduan orang awam, NGO dan Pakatan Rakyat mengenai isu pertambahan pengundi berdaftar yang meragukan. – Roketkini.com