Berita

DAP sedih Dr Chua terpaksa rayu ahli MCA tepuk tangan ketika dia berucap

KUALA LUMPUR, 3 FEB: DAP amat sedih apabila melihat Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek semakin menyimpang dan histeria hingga terpaksa merayu ahli MCA memberikan tepukan gemuruh ketika dia dan pemimpin lain berucap pada majlis MCA yang diadakan di seluruh negara.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Chua terpaksa berbuat demikian ketika majlis makan tengah hari sambutan ulang tahun MCA ke-64 Wilayah Persekutuan di Kepong, semalam, kerana sambutan ahli MCA begitu dingin dan tidak menepuk tangan dengan sepenuh hati walaupun sudah beberapa kali merayu.

“Malah tindakan Chua mengelirukan apabila meminta ahli MCA mencontohi DAP yang mendakwa apabila pemimpin DAP bercakap di atas pentas, ahli DAP di bawah akan menyambut dengan tepukan tanpa henti untuk menggambarkan apa yang dikata pemimpin mereka adalah betul.

“Chua dikatakan meminta ahli MCA melakukan perkara yang sama dengan memberi tepukan gemuruh ketika pemimpin MCA bercakap di atas pentas untuk meyakinkan ahli,” katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 68 hari ke PRU-13, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, sepanjang 47 tahun di dalam politik, beliau tidak pernah merayu supaya ucapannya diberi tepukan dan sorakkan gemuruk begitu juga pemimpin DAP lain.

Katanya, bukan saja orang biasa, ahli MCA sendiri juga marah dan rasa terasing dengan lakonan pemimpin MCA sebagai penyebar pembohongan dan ahli nujum mala petaka bagi membantu UMNO menakut-nakutkan pengundi Cina supaya menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

“Bukan saja kebanyakan rakyat Malaysia yang berfikiran waras, sama ada orang Cina, Melayu, India, Kadazan dan Iban, majoriti ahli MCA yang baik, dapat melihat di sebalik sifat penakut, tidak jujur dan kepura-puraan politik penipuan dan pembohongan yang dilakukan pemimpin MCA dan UMNO.

“Pemimpin MCA dengan agenda utama mereka menakut-nakutkan pengundi Cina dengan penipuan bahawa DAP adalah pak turut PAS sementara pemimpin UMNO menakut-nakutkan pengundi Melayu dengan menuduh PAS boneka DAP,” katanya.

Beliau berkata, sama ada DAP pak turut PAS atau PAS boneka DAP, kedua-duanya tidak betul dan propaganda MCA dan UMNO itu salah  kerana mereka adalah penipu dan pembohong.

Menurutnya, ini yang membezakan Pakatan Rakyat dengan BN kerana memaksa budaya politik “Listen, listen, listen” dengan UMNO sebagai hagemoni yang tidak dipertikaikan dalam BN.

“Ini sebabnya apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan sewenang-wenangnya tidak mengikut perlembagaan apabila mengumumkan pada 29 September 2001 (Deklarasi 929) bahawa Malaysia adalah negara Islam, yang menzahirkan sokongan terbuka ialah pemimpin tertinggi MCA dan Gerakan, walaupun tanpa sebarang mandat daripada ahli MCA dan Gerakan.

“Laungan Chua dan pemimpin MCA pada majlis “makan malam mega” MCA itu adalah penipu dan pembohong bahawa akan timbul masalah di Malaysia dan negara akan muflis sekiranya Pakatan Rakyat memenangi PRU-13 dan membentuk kerajaan Persekutuan di Putrajaya,” katanya..

Kit Siang berkata, tidak diragukan lagi bahawa majoriti ahli MCA menganggap ucapan sedemikian sebagai paling tidak bertanggungjawab kerana kejayaan Pakatan Rakyat di lima negeri selepas tsunami politik PRU 2008, terutamanya di Pulau Pinang dan Selangor, membuktikan yang ramalan malapetaka sedemikian adalah salah dan tidak berasas.

Menurutnya, tidak diragukan lagi bahawa majoriti ahli MCA juga merupakan rakyat Malaysia yang patriotik dan mahu melihat perubahan politik buat pertama kali dalam 55 tahun sejarah negara untuk mewujudkan hari esok yang lebih baik buat rakyat Malaysia.

“Saya ucapkan semoga berjaya buat Chua, kerana di tahap perkembangan politik Malaysia sekarang, beliau membantu membuka banyak mata terhadap politik tidak jujur, berpura-pura, penipuan dan pembohongan yang diamalkan bukan sahaja oleh MCA tetapi juga UMNO/BN berbanding Presiden MCA sebelumnya,” ujarnya – Roketkini.com.