Berita

Sudah sampai masanya rakyat Malaysia tukar kerajaan BN korup pada PRU-13

KUALA LUMPUR, 5 FEB: UMNO/Barisan Nasional (BN) tidak sepatutnya hanya mensasarkan 60,000 orang hadir untuk menyaksikan persembahan “Oppa Gangnam Style” Psy pada sambutan Tahun Baru Cina di Pulau Pinang, 11 Februari ini sebaliknya mensasarkan 100,000 atau 250,000 orang dari seluruh negara dan negara jiran menyaksikan acara sensasi itu.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, itulah topik hangat yang sedang dibicarakan rakyat Malaysia kebelakangan ini terutama mengenai kos sebanyak RM3 juta untuk membawa bintang Korea Selatan itu mengadakan persembahan pada Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pulau Pinang.

Katanya, alangkah baiknya jika kehadiran bersejarah julung kali Psy di Malaysia itu turut membuatkan Malaysia mencontohi Korea Selatan yang berusaha memperbaiki keadaan negara menjalankan transformasi yang jujur dalam tadbir urus, politik, ekonomi, pendidikan dan pembinaan bangsa bagi membolehkan Malaysia membuat satu anjakan dalam segenap aspek kehidupan.

“Biar kehadiran Psy itu memulakan satu debat nasional dan mengenal pasti cara bagaimana Korea Selatan, daripada sebuah negara yang miskin dan mundur mampu berjaya menjadi penjana ekonomi yang kini lebih kaya dengan pendapatan per kapita dua hingga tiga kali lebih tinggi dan lebih maju dalam semua biudang berbanding Malaysia,” katanya dalam kenyataan media sempena Pengiraan Detik 66 Hari ke PRU-13, semalam..

Berikut adalah perbandingan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) selama 18 tahun antara Malaysia dan Korea Selatan:

Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI)

Tahun Malaysia Korea Selatan

 

Kedudukan Mata Kedudukan Mata

 

1995                                        23               5.28                      27               4.29

1996                                        26               5.32                     27               5.02

1997                                        32               5.01                     34               4.29

1998                                        29               5.3                        43               4.2

1999                                        32               5.1                        50               3.8

2000                                        36               4.8                        48               4.0

2001                                        36               5.0                        42               4.2

2002                                        33               4.9                        40               4.5

2003                                        37               5.2                        50               4.3

2004                                        39               5.0                        47               4.5

2005                                        39               5.1                        40               5.0

2006                                        44               5.0                        42               5.1

2007                                        43               5.1                        43               5.1

2008                                        47               5.1                        40               5.6

2009                                        56               4.5                        39               5.5

2010                                        56               4.4                        39               5.4

2011                                        60               4.3                        42               5.4

2012                                        54               49/100                            45               56/100

 

[Dari tahun 1995 hingga 2011, skala daripada 10 (sangat bersih) hingga 0 (sangat korup) telah digunakan, yang kini telah diubah kepada skala 0-100 bermula 2012]
18 tahun siri tahunan CPI TI 1995 – 2012 menunjukkan:

  • Bagi 11 tahun pertama daripada 1995-2005, Malaysia mendahului Korea Selatan dilihat sebagai lebih  bersih dan kurang korup berbanding Korea Selatan, walaupun mencapai perbezaan 18 kedudukan pada 1999, mewakili perbezaan mata 1.30.

 

  • Korea Selatan menewaskan Malaysia pada 2006, dengan kedudukan 42 berbanding Malaysia pada kedudukan 44, dan selepas seri pada 2007 dengan kedua-duanya berada pada kedudukan 43 dengan 5.1 mata, Korea Selatan tidak lagi menoleh kebelakang dalam mencapai kedudukan dan mata lebih baik untuk lima tahun dari 2008 – 2012, malah menewaskan Malaysia dengan perbezaan 18 tempat pada 2011.

 

  • Kedudukan dan mata CPI TI Malaysia empat tahun lalu  (2009 – 2012) iaitu ketika pemerintahan Datuk Seri Najib Razak adalah yang terburuk dalam tempoh 18 tahun; sementara kedudukan dan mata Korea Selatan dalam tempoh yang sama adalah antara negara terbaik.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, pengajarannya jelas sejak 18 tahun lalu, dan terutamanya empat tahun lalu, tadbir urus dalam ketelusan dan akauntabiliti Korea Selatan semakin berjaya memulihkan kepercayaan orang ramai dengan mengubah pandangan ramai terhadap korupsi tetapi sebaliknya berlaku di Malaysia.

Katanya, ini satu daripada pengajaran untuk Malaysia belajar dari Korea Selatan dan adakah rakyat Malaysia sudah bersedia melakukan perubahan ke arah itu bukannya dengan terus mengekal dan memberi mandat kepada kerajaan BN yang korup itu pada PRU-13 nanti. – Roketkini.com