Berita

Elok Ng Yen Yen jaga tempat sendiri daripada jaga ‘muka’ Najib

GEORGE TOWN, 6 FEB: Menteri Pelancongan, Datuk Seri Ng Yen Yen dinasihat menjaga kebajikan penduduk kawasannya di Raub daripada menjaga kain rentang (streamer) gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang diturunkan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kerana tiada permit kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Berikutan itu beliau meminta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memohon maaf atas tindakan kakitangan MPSP menurunkan  ‘streamer’ gambar Najib memalukan dirinya sendiri kerana tidak ada permit MPSP.

Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAPSY,Steven Sim Chee Keong berkata, menteri itu sepatutnya lebih tahu mengenai undang-undang dan tidak menyalahkan kerajaan negeri kerana selama ini, mereka mengamalkan dasar “double standard”.

“Adakah Ng mengatakan pegawai MPSP yang melaksanakan tugas mereka berdasarkan peruntukkan undang-undang itu satu kesalahan.

“Beliau sepatutnya meminta maaf kepada MPSP dan kakitangan MPSP kerana mengeluarkan kenyataan yang menghina tugas rasmi MPSP”. Ng Yen Yen perlu ingat, di Pulau Pinang, kerajaan negeri Pakatan Rakyat dan PBT mengamalkan prinsip Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT),” ujar beliau.

Menurut Steven, daripada menjadi tukang jaga “streamer” muka Najib, lebih baik Ng Yen Yen menjaga kebajikan rakyat di kawasannya dan kawasan jiran di Gebeng yang dihantui risiko kesihatan akibat penggunaan bahan sianida di Bukit Koman dan kilang Lynas di Gebeng, Kuantan.

“Rakyat di sana sedang terdedah kepada risiko akibat pencemaran alam sekitar disebabkan dasar kerajaan BN sendiri,” katanya yang juga Setiausaha Publisiti DAPSY Pulau Pinang.-Roketkini.com