Berita

Harga makanan terus meningkat, kerajaan gagal atasinya

SEPUTEH, 6 FEB: Asal sahaja tiba musim perayaan, harga makanan seluruh negara akan meningkat biarpun kerajaan menghantar pegawainya untuk memantau harga makanan di pasar dan pusat membeli belah.

Langkah yang diambil kerajaan itu bagaimanapun tidak menghalang kenaikan harga makanan secara mendadak dan menjadi semakin tinggi ketika krisis makanan dunia tahun 2008. Inilah realitii yang dihadapi negara sejak 10 tahun lalu.

Sehubungan itu, Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok berkata, satu daripada punca kenaikan harga makanan adalah akibat daripada pergantungan kerajaan kepada bahan import dari negara lain.

“Sejak bayi lagi kita bergantung kepada makanan import seperti susu tepung. Kita adalah antara negara pengimport makanan terbesar pada awal tahun 2000.

“Pengguna di Malaysia pula mencatatkan perbelanjaan sejumlah RM92 juta ke atas makanan import setiap hari pada 2011,” jelas beliau dalam satu kenyataan.

Bagi mengawal keadaan itu, Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh menyarankan agar kerajaan melaksanakan tindakan serius untuk menjamin bekalan makanan  dalam negara mencukupi keperluan rakyat.

“Negara perlu menjadi negara pengeksport makanan bukannya pengimport.

“Negara seperti Jepun, Thailand, China dan Vietnam mempunyai bekalan makanan yang mencukupi. Thailand dan Vietnam kedua-duanya adalah pengeksport makanan terbesar ke negara luar dan ia menjadi pendapatan utama negara mereka,” ujarnya.

Menurutnya, antara kenaikan ketara dapat dilihat tahun ini adalah kenaikan harga limau Mandarin sehingga 15 peratus berbanding tahun lalu.

“Pada saya jaminan keselamatan bekalan makanan yang cukup dan penjualan produk makanan secara efektif adalah dua kunci yang perlu diberi penekanan segera,” katanya.

Setakat ini, negeri Kelantan di bawah pentadbiran PAS-Pakatan Rakyat (PR) sedang dan berjaya melaksanakan pelbagai dasar mencapai sasaran negeri Jelapang Makanan Negara menjelang 2015.

Pada tahun ini, dianggarkan 100 hektar tanah terbiar akan diusahakan di Kelantan berbanding 57 hektar tahun sebelumnya.

Selain digelar Jelapang Padi Negara, kerajaan negeri Kedah pula mencatatkan peningkatan memberangsangkan hasil pengeluaran nanas, betik, ikan dan ayam. Kedah kini menjadi pengeluar makanan utama di Utara Malaysia.

Penanaman nanas dan betik oleh anak syarikat milik kerajaan negeri juga berjaya menembusi pasaran negara Timur Tengah, China dan Thailand.-Roketkini.com