Berita

Utamakan masa depan 28 juta rakyat Malaysia daripada fikir nasib Najib atau BN

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Datuk Seri Najib Razak dianggap Perdana Menteri yang tidak mampu membuat keputusan sebab itu sehingga kini beliau masih teragak-agak dan gagal menentukan tarikh pembubaran Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) diadakan.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, selama mentadbir negara, Najib sudah mencipta dua rekod buruk dan adakah dia akan mencipta dua lagi rekod buruk menjelang PRU-13 nanti.

Katanya, Najib menjadi Perdana Menteri paling lama memerintah tanpa mandat rakyat iaitu hampir tiga tahun 10 bulan iaitu lebih lama daripada Perdana Menteri sebelum ini iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Hussein Onn dan bapa beliau sendiri, Tun Abdul Razak.

“Najib juga mencipta rekod buruk kedua iaitu Parlimen di bawahnya berjalan untuk satu penggal yang paling lama selepas “tsunami politik” pada PRU 8 Mac 2008 dan kini tinggal satu bulan tiga hari daripada ulang tahun ke-5 PRU-12 itu.

“Secara umumnya ramai berpendapat bahawa Parlimen mesti dibubarkan lima tahun selepas PRU sebelumnya, iaitu “308” pada 2008 untuk penggal ke-12 Parlimen. Menurut Perlembagaan, lima tahun penggal Parlimen mula dikira dari tarikh mesyuarat pertamanya, iaitu 28 April, 2008 dan bukannya daripada tarikh PRU pada 8 Mac 2008. Ini bermakna jangka hayat lima tahun  Parlimen ke-12 hanya akan berakhir pada 27 April 2013, ketika Parlimen akan terbubar dengan sendiri dengan pilihan raya umum bakal diadakan 60 hari tanpa memerlukan Perdana Menteri menghadap Yang Dipertuan Agong untuk membubarkan Parlimen,” katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 65 Hari ke PRU-13, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Sabtu lalu, Najib menyatakan beliau tahu bila masanya untuk menghadap Yang Dipertuan Agong bagi membubarkan Parlimen dan tidak perlu “menjolok” beliau untuk tahu bila PRU-13 akan diadakan.

Menurutnya, bukan Perdana Menteri yang “dijolok” supaya Parlimen dibubar, tetapi 28 juta rakyat Malaysia yang “dijolok” oleh Najib sejak dua tahun lalu supaya sentiasa berada dalam mod “PRU-13” –

Kit Siang mempertikai adakah Najib akan mencipta rekod buruk ketiganya dengan membiarkan Parlimen ke-12 melepasi 8 Mac 2013 melebihi lima tahun tempoh semulajadi Parlimen, terpaksa bergantung kepada takrif perlembangan untuk penggal lima tahun Parlimen, buat pertama kalinya dalam 55 tahun.

“Bagaimanapun rekod buruk keempat yang benar-benar menghantui Najib ialah sama ada beliau menjadi Perdana Menteri pertama daripada Barisan Nasional (BN) yang akan kehilangan kuasa pada PRU-13 dan menjadi Perdana Menteri UMNO terakhir dalam sejarah pilihan raya umum Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun pada PRU-13 nanti, tidak sepatutnya difikirkan mengenai Najib atau masa depan politik UMNO/BN, sebaliknya mengenai masa depan bangsa dan 28 juta rakyat Malaysia yang setengah abad selepas Merdeka.

Yang menjadi masalah setengah abad lalu, keadaan berubah secara dramatik antara Malaysia dan Korea Selatan. Magnitud perubahan nasib antara Malaysia dan Korea Selatan dapat dilihat pada data KDNK per kapita kedua-dua negara untuk setengah abad lalu dari Bank Dunia dan International Monetary Fund:

Dalam setengah abad dari 1960 hingga 2012, KDNK Malaysia per kapita meningkat 35 kali ganda, amat sedikit berbanding peningkatan 148.5 kali ganda KDNK per kapita Korea Selatan dalam tempoh itu.

Beliau berkata, rakyat Malaysia kini ingin tahu bagaimana Korea Selatan boleh berubah dalam tempoh setengah abad daripada negara miskin dan mundur menjadi sebuah negara yang dua atau tiga kali ganda lebih kaya daripada Malaysia dan mencapai lebih banyak kejayaan dalam hampir semua bidang yang diusahakan, dan mengamalkan formula itu bagi “Kemerdekaan Kali Kedua” Malaysia.

Oleh itu, katanya, pada PRU-13 nanti perlu menjadi perhitungan bagaimana Malaysia dapat menghentikan kerosakan berterusan, mengurang jurang antara Malaysia dan Korea Selatan, dan memulakan perkembangan ekonomi dan menandingi pencapaiannya dalam semua bidang yang diusahakan. – Roketkini.com