Berita

Masyarakat India akan undi PR, tolak taktik beli undi BN

BATU GAJAH, 20 FEB: Sikap taat setia masyarakat India yang datang ke Tanah Melayu kepada majikan yang menguruskan estet-estet getah sejak sebelum merdeka telah dimanipulasi oleh Barisan Nasional (BN) semata-mata demi kepentingan politik kekuasaan.

Malah, kesetiaan mereka selama ini seolah-olah tidak dihargai apabila dianggap sebagai golongan yang mudah dibeli disebabkan kemelut kemiskinan yang dihadapi.

Menurut Setiausaha Antarabangsa DAP, V.Sivakumar, mainan politik BN yang mengambil kesempatan atas kekurangan masyarakat India negara ini adalah satu penghinaan dan menunjukkan mereka tidak dihormati walaupun telah memberi sumbangan besar kepada asas ekonomi negara satu ketika dahulu.

Beliau berkata, BN menggunakan wang sebagai faktor penarik justeru tidak hairanlah pemberian sedikit wang kepada golongan fakir miskin boleh mempengaruhi sokongan dan undi.

“Kini Perdana Menteri, Najib Razak melancarkan BR1M pada tahun 2012 dan 2013. Bukan sekadar itu Barisan Nasional juga telah menjanjikan bantuan RM1000 jika mereka menang dalam Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.

“Semua ini dibuat dengan harapan rakyat miskin boleh ditipu dengan wang untuk menang dalam PRU13, adakah orang-orang India yang selama ini ditindas dan dihina oleh Barisan Nasional akan termakan racun yang diberikan oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak?” soal beliau dalam satu kenyataan.

Tambahnya, BN juga telah menakutkan kaum India dengan menggunakan orang-orang MIC, PPP, IPF, Gerakan, NGO, Cawangan Khas Polis dan sebagainya.

“Di kebanyakkan ladang pula, BN menggunakan majikan bagi menakutkan orang-orang India. Ketakutan yang ada pada sebilangan besar orang-orang India itu dijadikan modal kekuatan Barisan Nasional untuk memenangi pilihanraya,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tronoh.

Dalam pada itu Sivakumar berpandangan bahawa kaum India tidak lagi akan tertipu dengan taktik kotor BN dan yakin bahawa lebih daripada 60 peratus mereka akan memberi sokongan padu kepada Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihanraya akan datang.

“Penindasan yang dilakukan BN selama ini tidak mudah dilupai oleh kaum India. Pemberian BR1M RM500 atau RM1000 tidak akan mengubah nasib mereka di negara ini.

“Harapan masyarakat India adalah lebih besar daripada itu. Peluang pekerjaan dalam sektor awam, peluang pendidikan tinggi dalam bidang ikthisas, peluang kontrak dan perniagaan, masalah kad pengenalan merah, masa hadapan sekolah-sekolah Tamil dan sebagainya adalah antara perkara-perkara yang langsung tidak dipedulikan oleh BN sebelum ini,” katanya. – Roketkini.com