Rencana

Mencari lebih ramai Jokowi dan Ahok dalam Politik Oleh Hariszuan

BARU-BARU ini saya terperasan foto dua rakan saya dalam Facebook mereka. Kedua-duanya – Ustaz Rosidi Hussain dan Steven Sim – merupakan ahli politik, dan dalam gambar itu memakai “kemeja Jokowi” yang kini cukup trendy di Indonesia. Rakan lain mengejek mereka sebagai Jokowi dan Ahok Pulau Pinang.

Huh? Siapa pula Jokowi dan Ahok?

Barangkali di negara ini nama Psy ‘Gangnam Style’ lebih dikenali berbanding Jokowi dan Ahok. Malah nama Jokowi dan Ahok ini kedengaran kampung, tidak ‘internasional’ dan bunyian kedaerahan – nama yang bukan siapa-siapa, tidak dipentingkan dan tidak layak diberi perhatian. Namun bukan itu yang berlaku di Indonesia baru-baru ini apabila gandingan Jokowi dan Ahok berjaya menawan hati warga Jakarta yang melihat mereka ini sebagai harapan baru buat kota raya itu. Lebih daripada itu, gandingan ini mencipta sensasinya yang tersendiri; hingga timbul istilah ‘fenomena Jokowi dan Ahok’.

Joko Widodo atau Jokowi dan Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok merupakan gandingan calon yang berjaya dipilih sebagai Datuk Bandar dan Timbalannya pada pemilihan Gubernur dan Wakil Gubernur (Datuk Bandar) Jakarta baru-baru ini. Ya, pilihan raya untuk memilih Datuk Bandar ini kedengaran asing di negara ini kerana telah lama amalan ini ditiadakan – ikut mati bersama-sama pilihan raya kerajaan tempatan yang lain sejak 1965.

Jokowi sebelum ini memegang jawatan sebagai Wali Kota (Datuk Bandar) di Solo, satu daerah kecil di Pulau Jawa, manakala Ahok menjawat jawatan Bupati (Ketua Daerah) di Belitung Timur, sebuah pulau kecil di selatan Pulau Sumatera. Kedua-dua mereka bukanlah tokoh nasional, melainkan tokoh tempatan yang sangat rapat dengan kawasan mereka. Malah, kedua-duanya meraih populariti yang lumayan kerana usaha mereka di daerah masing-masing. Jokowi berjaya menjadikan Solo sebagai antara Kota Warisan Dunia dan mengindahkan taman di kota terbabit, manakala Ahok, seorang keturunan Cina-Kristian berhasil mengendurkan ketegangan agama di Belitung Timur yang majoritinya Muslim daripada Partai Bulan Bintang yang dianggap sebagai konservatif radikal. Ahok juga pernah menerima penghargaan hasil usaha melawan rasuah di Belitung Timur. Pencapaian kedua-dua pemimpin ini berupa inisiatif lokal – usaha untuk membangunkan hal-ehwal setempat.

Maka, gandingan Jokowi dan Ahok kemudiannya memberi harapan baru buat Jakarta apabila keduanya bersetuju untuk berganding sebagai calon Gubernur. Malah, di luar jangkaan sesiapa pun, Jokowi dan Ahok melampaui hanya sekadar harapan, hinggakan gandingan ini menjadi fenomena di Indonesia. Bukan setakat baju petak-petak yang digelar warga Jakarta sebagai kemeja Jokowi malah sampai ada lagu berbunyi, “Jokowi Ahok Ahok I like it Ahok Ahok” dinyanyikan mengikut irama “That’s the way aha aha I like it aha aha”!!

Apakah yang hebatnya gandingan ini? Hebatnya mereka kerana mereka melakukan apa yang seharusnya dilakukan oleh seorang pemimpin. Jika kita perhatikan, kedua mereka berkongsi beberapa ciri yang sama – mempunyai rekod yang cemerlang di peringkat lokal, relatifnya muda (gandingan ini merupakan calon Datuk Bandar termuda) dan memiliki idealisme. Mereka juga merupakan pemimpin bukan nasional yang tidak memiliki beban persepsi yang memberi kesan kepada wibawa mereka.

Jokowi dan Ahok Pulau Pinang

Nah, kini mari kita pulang ke Malaysia. Di negara ini, lensa politik lebih terarah kepada tokoh besar seperti Obama, SBY (dan juga Psy), Najib Tun Razak, Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng. Saban hari media memberi fokus kepada pemimpin seperti mereka. Naik turun nasib rakyat dan negara dilihat berkait rapat dengan tokoh berkenaan.

Satu kesan daripada penumpuan seluruh perhatian alam politik ke atas nama besar ini adalah rakyat berasa politik ini hanya untuk yang pakar, ahli dan pengurusan negara hanya untuk “politikus gergasi” – bukan untuk orang biasa. Ini seterusnya menyebabkan politik dilihat sebagai arena untuk superhero, macam Barack Obama atau Recep Tayyip Erdogan. Hanya orang “hebat” ini yang mampu menyelamatkan negara dan dunia. Sedangkan setelah mereka diangkat menjadi pemimpin, ramai baru sedar bahawa perubahan itu tak datang bergolek. Perubahan hanya berlaku apabila rakyat bangkit bersama memikul beban tanggungjawab masing-masing.

Demokrasi bukan konsep abstrak dalam buku-buku sains politik, tetapi merupakan sesuatu yang sangat praktikal – penglibatan rakyat dalam membuat keputusan. Justeru, jika politik hanya soal tokoh besar, maka demokrasi pasti tempang. Dalam kata lain, politik bukan hanya untuk tokoh-tokoh besar yang mengambil tempat di arena nasional ataupun global, tetapi politik itu lokal, politik kota dan desa, politik tentang kebajikan dan pengupayaan masyarakat setempat.

Di ambang perubahan politik negara kita, takrif politik harus difikir semula. Fokus pengamatan politik termasuk oleh pengamal media harus lebih luas, daripada White House atau Putrajaya kepada Komtar, majlis daerah dan lain-lain. Lensa politik mestilah dilaraskan lebih jauh lagi ke arah politik lokal – politik setempat. Di Indonesia kita nampak politik lokal Jokowi dan Ahok, di Malaysia tidak kurangnya inisiatif lokal tetapi jarang diberi pendedahan disebabkan alasan yang disebutkan tadi. Ambil contoh dua orang rakan tadi yang disebut Jokowi dan Ahok Pulau Pinang kerana pakaian mereka.

Steven Sim selaku ahli majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dikenali oleh komuniti di kawasan beliau sebagai aktif dalam melaksanakan idea baru dalam politik setempat. Malah lebih daripada itu, orang muda ini dalam masa sesingkat dua tahun sebagai ahli majlis telah membawa beberapa perubahan radikal kepada MPSP. Sebaik sahaja dilantik menjadi ahli majlis pada 2011, Sim telah menyeru kepada pengambilalihan kerja pembersihan oleh MPSP yang hampir sepenuhnya diswastakan oleh kerajaan terdahulu. Hasil usaha itu, MPSP pada penghujung 2012 telah mengambil keputusan mengambilalih 60% daripada kerja pembersihan dan secara langsung telah mewujudkan 1,000 peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat serta meningkatkan kecekapan dan menurunkan kos perkhidmatan pembersihan di Seberang Perai.

Antara inisiatif lokal oleh Sim yang lain termasuklah sistem #BetterPenang yang memudahkan interaksi terbuka antara komuniti dan kerajaan tempatan, mempelopori bajet responsif gender bagi memastikan sumber kerajaan tempatan diagihkan secara adil kepada semua lapisan serta advokasi untuk meluaskan partisipasi komuniti dalam proses membuat keputusan di peringkat kerajaan tempatan.

Inisiatif lokal sebegini membolehkan pembabitan komuniti bukan sahaja dalam proses membuat keputusan, malahan juga pelaksanaan. Bagi individu seperti Steven Sim dan Rosidi Hussain, hanya melalui pembabitan aktif warga setempat dapat membantu rakyat mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan dan juga pihak swasta. Hal ini seterusnya menjadikan komuniti lebih berdikari dan autonomi.

Rosidi Hussain, Penyelaras KADUN Penaga seorang peguam Syariah yang berjaya sangat komited untuk membangunkan kawasan beliau. Rosidi percaya, bahawa melalui hubungan akrab dan non-formal, masyarakat akan lebih mudah memahami dan menerima program yang ingin dicadangkan kepada mereka. Sikap ini pastinya mengingatkan kita kepada Jokowi yang berjaya memujuk penggerai dan penjaja di sekitar taman di Solo agar mengikut peraturan yang ditetapkan tanpa menimbulkan sebarang ketegangan. Hasilnya kini, Solo lebih tersusun dan bersih. Begitu juga dengan Penaga, Roshidi sentiasa berusaha mendekati masyarakat tanpa mengira kaum dan lapisan umur. Antara program yang beliau jalankan hampir setiap minggu adalah kunjungan rumah ke rumah, program bersama anak yatim dan warga emas, serta aktiviti rekreasi bersama anak muda.

Malah, pada 2012 yang lalu, Penaga kini bakal mempunyai Gelanggang Sukan Rakyat sendiri yang menempatkan gelanggang futsal, takraw, dan bola jaring. Roshidi percaya, jika kerajaan mampu menyediakan kemudahan sewajarnya kepada anak muda, gejala sosial seperti melepak dan lumba haram dapat diatasi. Sikap positif beliau terhadap anak muda membolehkan beliau mendapat sokongan yang besar daripada golongan ini.

Apa yang membezakan Jokowi-Ahok Jakarta dan Pulau Pinang?

Jika kita perhatikan, terdapat persamaan yang jelas terhadap dua kolobrasi ini – mereka muda, merupakan pemimpin tempatan yang aktif, dan memiliki idealisma. Namun bezanya, inisiatif lokal di negara ini kurang mendapat fokus. Pemusatan politik yang berlaku di Malaysia menyebabkan inisiatif lokal – yang ada kalanya lebih besar dan lebih radikal – tidak diberi perhatian yang sewajarnya agar boleh dijadikan contoh di tempat lain. Berbeza dengan Indonesia – meskipun Indonesia mengamalkan sistem unitari berbanding Malaysia yang mengamalkan sistem persekutuan – amalan di Malaysia lebih tertumpu kepada Putrajaya dan Kuala Lumpur dan figura ‘nasional’. Umum maklum bahawa sistem federalism yang kita amalkan di negara ini sebenarnya memberi kuasa yang terlalu besar kepada kerajaan Pusat hinggakan dalam perkara yang berada dalam senarai negeri pun, kerajaan Pusat mempunyai pengaruh yang besar. Perkembangan ini jelas bukan amalan federalisme yang sihat.

Malangnya, amalan ini juga kelihatannya tidak hanya terhenti di peringkatan pentadbiran kerajaan sahaja. Media yang merupakan fourth estate bagi mendukung sistem demokrasi negara perlu memainkan peranan penting untuk membaurkan pemusatan kuasa politik dan monopoli politik di peringkat nasional. Salah satu daripada langkahnya ialah untuk mengetengahkan inisiatif lokal dalam arena politik tanah air. Pada masa kini, media arus perdana dilihat sebagai jurucakap pihak pemerintah manakala media alternatif pula lebih menjurus kepada isu nasional yang besar dan sensasi.

Menghargai inisiatif lokal amat penting, sebagaimana yang dibuktikan oleh ‘fenomena Jokowi dan Ahok’. Inisatif lokal ini, selain menggalakkan masyarakat untuk terbabit aktif di peringkat tempatan, usaha ini juga membantu melahirkan aktor baru dalam politik negara. Masyarakat pastinya sedar bahawa 30-40 tahun kebelakangan ini, sukar untuk kita melihat aktor baru dalam politik Malaysia yang didominasi oleh ‘pemain lama’. Tanpa mempersoalkan kredibiliti ‘pemain lama’ ini, Malaysia semestinya memerlukan ruang untuk membolehkan ‘pemain baru’ ini muncul.

Tanpa ruang dan budaya yang demokratik , kita pasti sukar untuk menemukan Jokowi dan Ahok Malaysia. – Roketkini.com