Berita

“Siapa usir Melayu daripada tanah mereka? Bukan DAP tapi UMNO”- Tan Hong Pin

BATU PAHAT, 24 FEB: Melayu tidak akan hilang kuasa tanpa UMNO. Demikian kesimpulan padu berlandaskan fakta yang dapat dibuat dalam wacana “Adakah Melayu akan hilang kuasa tanpa UMNO” di Hotel Crystal Inn, Batu Pahat, Johor, baru-baru ini.

Apa yang membanggakan, dewan penuh dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat Johor yang mahukan kepastian mengenai momokan mitos ‘hilang kuasa’ oleh UMNO selama ini.

Ternyata, dakwaan UMNO itu meleset bahkan memakan diri sendiri kerana berdasarkan rekod, akibat tindakan merekalah, orang Melayu hilang kuasa malah kerugian dan tertindas.

“Selalunya kita biasa dengar daripada ahli politik UMNO, kalau orang Cina tak puas hati, kau balik China, ini tanah Melayu. Tapi kita nak tanya balik, betulkah ini ‘tanah Melayu’?

“Kita lihat kes paling dekat, kes di Pengerang, siapa yang diusir daripada tanah mereka yang diduduki daripada generasi ke generasi. Siapa yang halau mereka? Bukan DAP tapi UMNO,” jelas Ketua Pemuda DAP Johor, Tan Hong Pin.

Sambil berseloroh, Hong Pin menambah, di Semenanjung Malaysia ini bukan lagi tanah orang Melayu tapi tanah “Orang Kuat UMNO” (OKU).

Sebelum sesi bertukar hangat, beliau berkata, walaupun negara sudah lama merdeka daripada penjajahan British, sebenarnya kita masih dicengkam penjajahan UMNO-BN.

Menurutnya, melalui momokan UMNO-BN, rakyat Malaysia berjaya dialihkan perhatian mereka daripada perkara sebenar yang mengancam seluruh rakyat dan negara.

“Dalam banyak isu, BN akan mainkan isu perkauman dan agama.  Walhal sebenarnya kita menghadapi banyak isu yang sebenarnya seperti isu rasuah, kemiskinan, keselamatan, ekonomi, sosial dan banyak lagi. Ini yang harus diselesaikan,” ujar beliau.

Pada masa sama, beliau menyeru orang Johor terutamanya masyarakat Melayu agar tidak termakan dengan propaganda UMNO-BN yang menakut-nakutkan orang Melayu dengan gambaran salah yang dimomokkan UMNO terhadap Pakatan Rakyat (PR) terutamanya DAP.

“Kalau UMNO kalah siapa menang? DAP lawan MCA, Gerakan. Itu Cina lawan Cina!”

“Kalau boleh kita perlu mendapatkan maklumat tambahan yang lain terutamanya mengenai DAP daripada saluran sebenar seperti Roketkini.com,” kata Hong Pin.

Tambahnya, dengan bahang pilihan raya yang semakin dekat, beliau mengingatkan hadirin bahawa BN akan menggunakan pelbagai cara untuk meraih undi rakyat.

Justeru, untuk membebaskan negara dan rakyat daripada politik momokan dan fitnah, beliau berkata, hanya ada satu jalan negara ini boleh dibebaskan dari belenggu pembodohan BN iaitu melalui undi.

Wacana siri kedua “Adakah Melayu akan hilang kuasa tanpa UMNO” itu juga menampilkan panelis terdiri daripada Ketua Biro Pakatan Rakyat Pemuda DAP Kebangsaan, Mazir Ibrahim, bekas anggota Unit Penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap penulis dan sub-editor Roketkini.com, Izmil Amri Ismail dan moderator Edry Faizal Eddy Yusof.-Roketkini.com