Berita

“Saya DAP, saya okay, tukar wadah, bukan akidah” – Mazir Ibrahim

BATU PAHAT, 24 FEB: Golongan yang menuduh DAP cuba ‘menjual’ orang Melayu untuk menarik sokongan adalah ‘golongan yang sakit’ kerana DAP jelas secara fitrahnya adalah sebuah parti untuk semua kaum.

Tambahan pula, DAP adalah parti politik yang sah dan diiktiraf di sisi undang-undang negara, dan terbukti tidak pernah sama sekali menzalimi atau mahu mengubah Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Biro Pakatan Rakyat Pemuda DAP, Mazir Ibrahim, berkata DAP menjadi mangsa tohmahan sebagai ‘parti Cina’, komunis dan sebagainya hanya semata-mata berdasarkan keahlian masyarakat itu yang ramai.

“Gambaran yang diberi terhadap DAP sangat menakutkan. Tapi, berapa orang DAP yang ditangkap, kena tahan sebab dituduh komunis?

“Ini adalah akibat persepsi yang ditanam. Pembohongan kalau diulang-ulang, orang akan jadi percaya,” jelas beliau.

Menurut Mazir, ulangan pembohongan oleh media kawalan BN sejak 40 tahun lalu membuatkan masyarakat percaya kepada apa saja yang disampaikan. Ia termasuk penghakisan kuasa politik Melayu.

“BN sering menuduh DAP berbohong dan sebagainya tetapi yang selalu naik turun mahkamah dan kalah saman akibat memfitnah adalah Utusan Malaysia.

“Kalau kita lihat keputusan Pilihan Raya Umum 2004 dan 2008, kerusi orang Melayu di Parlimen bertambah selepas Pakatan Rakyat (PR) menang besar. Kita kena rujuk kepada fakta,” ujarnya.

Menceritakan mengenai pembabitannya dalam politik bersama DAP pula, anak kelahiran Batu Pahat itu berkata bahawa ibu bapanya sendiri adalah ahli UMNO.

“Bila saya nak menyertai DAP saya bertanyakan kepada bapa saya. Walaupun bapa saya UMNO, dia kata “walaupun kamu masuk DAP, dulu, kini dan selamanya kamu adalah anak aku”.

“Dulu pun saya UMNO. Bak kata seorang tokoh, kita cuma tukar wadah, bukannya tukar akidah,” ujar beliau.

Wacana siri kedua “Adakah Melayu akan hilang kuasa tanpa UMNO” itu turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Ketua Pemuda DAP Johor, Tan Hong Pin, bekas anggota Unit Penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap penulis dan sub-editor Roketkini.com, Izmil Amri Ismail dan moderator Edry Faizal Eddy Yusof. -Roketkini.com