Berita

Najib tidak layak jadi PM, tuduh DAP tindas Islam

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Datuk Seri Najib Razak tidak layak menjadi Perdana Menteri Malaysia kerana menggunakan isu perkauman dan mempermainkan sentimen ekstremis agama apabila memfitnah dan menuduh DAP menindas agama Islam.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata dakwaan DAP menindas agama Islam adalah tuduhan liar yang serius kerana Islam adalah agama rasmi Persekutuan.

Sehubungan itu, beliau mencabar Najib menunjukkan bukti bagi menyokong tuduhannya bahawa DAP menindas agama Islam.

“Tuduhan itu adalah sesuatu yang amat merbahaya dan haram yang boleh dikenakan tindakan undang-undang berat. Tidak ada sebarang bukti bahawa DAP menindas Islam sebaliknya saya menang saman ke atas Utusan Malaysia di mahkamah berhubung tuduhan bahawa saya anti-Islam.

“Malah sokongan DAP kepada agama Islam sebagai agama Persekutuan juga sudah dimasukkan dalam Perlembagaan DAP.

“Tambahan pula ketika memerintah Pulau Pinang, tidak ada sebuah surau atau masjid yang dirobohkan, bukan macam kuil Hindu yang dibina di atas tanah Penang Port yang dirobohkan pihak pengurusan yang dikuasai BN,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, sebaliknya kerajaan negeri Pulau Pinang sudah memartabatkan agama Islam dengan menambahkan peruntukan kepada hal ehwal Islam berkali ganda berbanding ketika pemerintahan BN.

Katanya, kerajaan negeri juga memberi tanah bernilai hampir RM80 juta untuk membina Ibu Pejabat Mahkamah Syariah Pulau Pinang setinggi tujuh tingkat bagi menggantikan bangunan dua tingkat, selain mendirikan tapak perindustrian halal, menambahkan elaun bulanan 80% kepada tok siak dan bilal, mengiktiraf huffaz dan memberi peruntukan tahunan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang tidak dilaksanakan sebelum ini.

Ahli Parlimen Bagan itu juga berkata, inisiatif baru dan peruntukan tambahan untuk pembangunan Islam yang dilaksanakan kerajaan negeri PR Pulau Pinang itu tidak dilaksana selama pemerintahan BN.

“Najib sebenarnya boleh dianggap menindas Islam kerana ketika menjadi Perdana Menteri hendak meluluskan pemberian lesen judi bola tiga tahun lalu dan kerajaan negeri Pulau Pinang adalah negeri pertama yang mengharam dan seterusnya memaksa kerajaan Pusat BN menarik balik lesen judi bola.

“Tambahan pula pemimpin DAP tidak ada saham dalam syarikat besar arak atau menjadi ahli lembaga pengarah kasino judi macam kroni UMNO/Barisan Nasional (BN),” ujarnya.

Beliau juga kesal kerana Perdana Menteri dan BN merestui pemimpin MCA seperti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menghina dan mengecam pemimpin wanita PAS enggan bersalam dengan lelaki sebagai suatu perbuatan ekstremis walaupun itu adalah hak dan pilihan seorang wanita Islam.

Katanya, hingga sekarang semua tuduhan bahawa DAP anti-Islam dibuktikan fitnah bila saman fitnahnya terhadap Utusan Malaysia berjaya di mahkamah.

Oleh itu, Guan Eng berkata, DAP tidak berminat ikut rentak UMNO memainkan sentimen perkauman dan ekstrimis agama serta menabur fitnah demi meraih undi.

“Sebaliknya DAP akan memberi tumpuan khas kepada prinsip, dasar yang mementingkan rakyat dan prestasi baik yang boleh membawa perubahan positif kepada masa depan negara,” katanya. – Roketkini.com