Berita

Rasuah pilihan raya: DAP mahu komitmen penuh kerajaan, bukan sekadar gimik

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Walaupun Ikrar Integriti Pilihan Raya yang ditandatangani Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak dilihat baik, ia tidak bermakna tanpa sebarang komitmen serius kerajaan menangani isu rasuah.

Anggota Biro Pilihanraya DAP, Tan Kok Wai, berkata ikrar yang ditandatangani Perdana Menteri itu adalah sekadar gimik politik bagi mengalihkan perhatian rakyat kepada kegagalan besar kerajaan memerangi rasuah.

“Bila Perdana Menteri menandatangani ikrar itu, beliau mendakwa BN akan memastikan integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam pilihan raya.
“Tetapi saya nak tanya, kalau begitu, mengapa lapan tuntutan Bersih tidak dilaksanakan. Sekarang cuma satu sahaja dipersetujui,” jelas beliau dalam satu sidang media bersama pelancaran kempen kutipan derma pilihan raya DAP melalui Facebook.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP itu berkata, walaupun kerajaan bercakap mengenai soal integriti dan ketelusan dalam pilihan raya, realiti yang berlaku adalah sebaliknya.

“Sumbangan adalah punca asas kepada sistem yang korup dalam pentadbiran kerajaan negara ini. Apa yang kerajaan telah buat? Indeks korupsi negara juga semakin teruk. BN sendiri tidak dapat mempertahankan diri mereka,” ujar beliau.

Merujuk kepada akta yang digunapakai sekarang, jumlah maksimum dana pilihan raya yang dibenarkan undang-undang adalah RM200,000 bagi kawasan Parlimen dan RM100,000 untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Tapi, kita sendiri boleh lihat BN menggunakan sejumlah wang yang besar dalam pilihan raya sehingga jutaan ringgit. Peliknya apabila laporan kewangan diserah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) oleh semua calon yang bertanding menang atau kalah, kita boleh lihat jumlahnya tidak melebihi apa yang ditetapkan,” katanya.

Sehubungan itu, Tan turut mempertikaikan bagaimana SPR dan Transparency International  boleh memantau agar calon yang bertanding pada pilihan raya umum kali ini tidak menggunakan wang melebihi had yang dibenarkan.

Menyifatkan ikrar yang dilafazkan Perdana Menteri itu cuma satu kontrak sosial tanpa sebarang ikatan undang-undang, Tan mencadangkan jika kerajaan benar-benar mahu satu pilihan raya yang adil, telus, berintegriti dan bebas rasuah, ia harus dilaksanakan secara menyeluruh termasuk dalam pentadbiran dan bukan sekadar dalam politik.

“Saya ingin mencabar PM dan BN, jika ikrar ini dibuat dengan ikhlas dan serius untuk melihat satu pilihan raya yang bersih dalam sejarah Malaysia, perkara pertama yang kerajaan perlu lakukan ialah mengisytiharkan harta melalui peruntukan undang-undang,” kata beliau.

Juteru itu, Tan mahu kerajaan melaksanakan satu undang-undang yang akan memastikan semua anggota dalam pentadbiran kerajaan termasuk pihak oposisi mengisytiharkan harta mereka.

“Ia perlu dilaksanakan bermula daripada pucuk pimpinan atasan iaitu Perdana Menteri sendiri, timbalannya, menteri kabinet, semua Menteri Besar dan Ketua Menteri, ahli Exco dan pasangan mereka. Kita juga mahu maklumat ini boleh diakses media dan orang ramai,” ujar beliau.

Hadir bersama pada sidang media itu ialah Bendahari Kebangsaan DAP merangkap Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan Penolong Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Vincent Wu Him Ven. – Roketkini.com