Berita

Pencerobohan Lahad Datu: PR gesa sidang khas Parlimen, minta rakyat bertenang

PETALING JAYA, 4 FEB: Pakatan Rakyat (PR) menuntut satu sidang khas Parlimen diadakan segera bagi membincangkan isu pencerobohan bersenjata di Lahad Datu untuk mendapatkan gambaran sebenar situasi yang berlaku di Sabah.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PR pada masa sama berhasrat mengadakan satu sidang meja bulat bersama pimpinan kerajaan dalam usaha untuk mencapai muafakat bersama berhubung isu berkenaan.

Sambil melahirkan kesedihan dengan apa yang berlaku, pimpinan PR dalam satu kenyataan bersama turut kesal dan kecewa dengan sikap kepimpinan negara yang gagal mempamerkan wibawa dan iltizam untuk menyelesaikan masalah ini dengan baik.

“Kerajaan juga gagal menyalurkan maklumat tepat, cepat dan telus serta memberi penjelasan terhadap apa yang berlaku kepada umum sehingga menyebabkan khabar angin tersebar luas.

“PR juga menggesa supaya isu itu tidak dijadikan arena tuduh-menuduh dan sewajarnya kepimpinan negara memberi tumpuan kepada isu keselamatan negara serta tidak mengalihkan pandangan rakyat daripada kelemahan mereka,” kata Anwar sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Dalam perkara berkait, Anwar mahu kerajaan sedar bahawa keutamaan harus diberikan demi mempertahankan kedaulatan negara, keselamatan rakyat dan perwira negara yang bertungkus lumus di perbatasan.

“Setiap pimpinan mana-mana negara sekalipun bertanggungjawab mempertahan kedaulatan wilayah negara, keselamatan rakyat dan anggota pasukan keselamatan. Kegagalan mempertahankan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat merupakan satu pengkhianatan serta menodai amanah rakyat.

“Setiap inci tanah Sabah dan keselamatan rakyatnya wajib dipertahankan,” ujar beliau.

Justeru pimpinan negara diingatkan agar tegas mempertahankan kedaulatan wilayah negara dan tidak alpa memastikan keselamatan setiap rakyat Malaysia, terutamanya di Sabah ekoran dari insiden pencerobohan sekumpulan bersenjata warga asing di sekitar Lahad Datu dan Semporna.

“PR menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk tetap teguh mendokong pasukan keselamatan negara, samada dari pihak polis atau tentera. Kita berdoa moga mereka kekal selamat serta bersemangat mempertahankan negara dan rakyat Malaysia dari ancaman penceroboh.

“Pencerobohan di Lahad Datu sehingga kini telah mengorbankan dua nyawa perwira negara manakala insiden terbaru di Semporna pula mengorbankan enam nyawa perwira negara. Kita merakamkan ucapan takziah buat keluarga mereka dan rakyat Sabah serta berdoa moga roh mereka dicucuri rahmat,” katanya.

Keadaan mutakhir di Sabah kini telah menimbulkan kebimbangan dan pelbagai spekulasi, walaubagaimanapun rakyat diminta untuk bertenang dan tidak mengambil tindakan terburu-buru atau menyebarkan berita-berita fitnah yang boleh menimbulkan keresahan.

“PR ingin menyatakan dengan jelas keyakinan kita terhadap kecekapan dan kebolehan anggota pasukan keselamatan. Mereka pastinya dapat menjalankan tugas dengan profesional sekiranya diberi kebebasan bertindak tanpa sebarang campurtangan politik,” jelas kenyataan itu lagi.-Roketkini.com