Rencana

Pulau Pinang Tawar Paradigma Pembangunan Baru Buat Malaysia Oleh Haris Zuan

DI MALAYSIA, orientasi pembangunan negara sering disalahertikan sebagai peningkatan jumlah bangunan. Pandangan ini sangat ketara sejak era kepimpinan Tun Dr Mahathir apabila pencapaian pembangunan negara sering dinisbahkan kepada kejayaan negara mendirikan dua menara berkembar phallic gergasi yang dinamakan Menara Berkembar Petronas dan membina pusat pentadbiran baru dengan kubah besar di Prang Besar, Sepang – kemudiannya dinamakan Putrajaya. Tanpa menafikan sumbangan Dr Mahathir ini, harus diinsafi bahawa takrif pembangunan melangkaui projek mega ini semata-mata.

Sejak awal lagi sudah terdapat kritik yang besar terdapat model pembangunan yang digunapakai oleh negara ini. Antara yang terawal mengkritik secara sistematik adalah Jomo KS, pakar ekonomi negara yang kini berkhidmat untuk Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO).  Melalui makalahnya, The Way Forward? The Political Economy of Development Policy Reform in Malaysia. (1993) Jomo menegaskan bahawa masyarakat bukanlah homo economicus, tetapi penuh dengan komitmen sosial yang rencam, ikatan kekeluargaan, kepatuhan agama, kesetiaan etnik, sentimen patriotik, keperluan psikologi dan kepercayaan moral. Pembangunan yang gagal mengambil kira dimensi ini pasti akan gagal.

Harus diakui, dasar pembangunan negara selama ini berjaya mengurangkan kadar kemiskinan negara daripada 50 peratus pada 1970 kepada 5.7 peratus pada 2004 dan kepada 3.9 peratus pada 2009 – dengan Pulau Pinang mencatat kadar kemiskinan 1.2 peratus pada 2009. Namun dalam masa yang sama, pengagihan pendapatan merosot dengan pekali Gini negara di tahap 0.462 dan jurang pendapatan intra-etnik semakin melebar. Dalam masa yang sama, negara kini, sejak 1996 terperangkap dalam middle income trap. Sebagai bandingan, Ketika pembentukan Malaysia pada 1963, pendapatan Malaysia adalah 13.6% daripada pendapatan AS, manakala pendapatan Korea Selatan dan Taiwan lebih rendah; masing-masing pada 10.7% dan 12.6%. Kini, lebih lima puluh tahun berlalu, Malaysia jauh ketinggalan dan kini hanya menikmati separuh kekayaan yang dimiliki Korea dan Taiwan. Sementara Korea dan Taiwan sudah melonjak menjadi ekonomi berpendapatan tinggi, Malaysia masih lagi terjerat dalam perangkap pendapatan sederhana, walaupun mempunyai banyak kelebihan semulajadi berbanding Korea Selatan dan Taiwan.

Pada masa yang sama, sistem persekutuan yang diamalkan oleh negara ini sangat terpusat daripada segi sumber dan kuasa. Gabungan belanjawan 13 negeri di Malaysia hanya berjumlah enam peratus  belanjawan Persekutuan. Pemusatan ini menjadikan bidang kuasa dan kemampuan kerajaan negeri sangat terbatas dan dalam masa yang sama mengurangkan kecekapan pengurusan, khasnya dalam perkara yang bersifat tempatan seperti pengurusan perkhidmatan pengangkutan awam bandar dan pembentungan. Tambahan pula sejak 1965, Pilihan Raya Kerajaan Tempatan dihapuskan dan kini fungsi kerajaan tempatan sangat terhad dan sukar untuk menjadi responsif kepada keperluan setempat.

Paradigma Pulau Pinang

Berdepan dengan senario ini, Penang Institute, sebagai sebuah badan pemikir Kerajaan Negeri Pulau Pinang, membentangkan Penang Paradigm atau Paradigma Pulau Pinang sebagai kerangka pembangunan negeri yang menyeluruh untuk tempoh 10 tahun daripada sekarang (2012-2023) ke arah membentuk masyarakat yang berimbang. Setelah mengadakan banyak siri perbincangan dengan pegawai kerajaan, ahli akademik dan NGO, Pelan Paradigma Pulau Pinang diketuai oleh Prof Datuk  Dr Woo Wing Thye, Pengarah Eksekutif Penang Institute yang juga mantan penasihat ekonomi untuk Perbendaharaan Amerika Syarikat kini dipersembahkan kepada kerajaan dan juga warga Pulau Pinang.

Paradigma Pulau Pinang menekankan bahawa pemulihan kedinamikan ekonomi sahaja tidak boleh menghasilkan pertumbuhan pendapatan tinggi yang berterusan di Pulau Pinang. Usaha ini juga perlu kepada peningkatan drastik dalam taraf kesesuaian untuk didiami dan kelestarian alam sekitar di Pulau Pinang, dan pengukuhan keharmonian dan rangkuman sosial di Pulau Pinang. Hanya dengan kemajuan dalam ketiga-tiga bidang — kerancakan ekonomi, kesesuaian untuk didiami dan kelestarian, dan pembangunan sosial — Pulau Pinang akan menjadi masyarakat seimbang yang dapat memupuk penjanaan idea bertaraf dunia, mengukuhkan pelaburan swasta untuk merealisasi idea perniagaan, terutamanya di pasaran antarabangsa, dan menyediakan infrastruktur awam yang diperlukan untuk memastikan manfaat maksimum dalam kebajikan sosial.

Bermula daripada Mac 2008, Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperkenalkan tiga kumpulan dasar untuk mengurangkan kesan mudarat dasar Persekutuan di Pulau Pinang:

  • Menggantikan kapitalisma kroni dengan persaingan yang adil, misalnya tender terbuka untuk projek awam;
  • Memulakan desentralisasi dalam proses membuat keputusan, contohnya mendesak untuk pilihan raya pihak berkuasa tempatan;
  • Menghentikan kemerosotan dalam kualiti perkhidmatan kerajaan, contohnya menggunakan prinsip CAT (Cekap, Akauntabaliti, Telus) dalam tadbir urus.

Mulai 2013 dan seterusnya, Paradigma Pulau Pinang mencadangkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu melaksanakan program yang mapan untuk:

  • Mengukuhkan penjanaan idea kreatif di Pulau Pinang;
  • Meningkatkan pelaburan swasta di Pulau Pinang dalam industri pembuatan hijau berteknologi tinggi dan industri perkhidmatan moden bernilai tinggi melalui kerjasama awam-swasta;
  • Menaik taraf perkhidmatan awam dalam infrastruktur fisikal dan bukan fisikal.

Secara ringkasnya, teras Paradigma Pulau Pinang adalah untuk menjana pembangunan negeri dan negara yang diterajui oleh ilmu pengetahuan. Oleh itu, antara tindakan yang pertama Paradigma Pulau Pinang adalah untuk mempercepatkan penjanaan idea kreatif di Pulau Pinang adalah dengan:

  • Meningkatkan pembentukan modal insan melalui:
    • pergerakan efektif bakat yang dilahirkan dalam keluarga berpendapatan rendah dengan membasmi kemiskinan,
    • peruntukan untuk membaikpulih sistem persekolahan;
  • Memelihara modal insan dan menarik insan berbakat dari tempat lain melalui pengukuhan
    • amalan meritokrasi
    • pertumbuhan industri bergaji tinggi
    • kesesuaian untuk didiami dan kelestarian, dan
    • keharmonian sosial.

Matlamat pelaksanaan Paradigma Pulau Pinang ini adalah untuk menjadikan negeri itu sebuah negeri pintar yang bertaraf antarabangsa.

Pembabitan Aktif Masyarakat dalam Pembangunan

Paradigma Pulau Pinang ini dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan dibentang untuk maklum balas awam pada 23 Februari 2012 yang lalu di Pulau Pinang. Pameran dan maklum balas awam ini akan berjalan selama dua minggu, bertempat di Town Hall di George Town dan Dewan MPSP di Bandar Perda, Seberang Jaya. Mereka yang berminat juga boleh melayari website Paradigma Pulau Pinang di http://penangparadigm.com.

Penang Institute dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang percaya bahawa sebarang model pembangunan yang gagal membabitkan penyertaan langsung masyarakat tidak akan berjaya sepenuhnya. Hal ini kerana tidak ada sesiapa yang lebih mengetahui keperluan dan kehendak setiap anggota masyarakat itu melainkan diri mereka sendiri. Menyedari akan hakikat itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa memastikan terdapat ruang untuk semua lapisan masyarakat ikut serta dalam proses membuat keputusan di negeri ini, apatah lagi yang berhubung dengan pelan pembangunan jangka panjang.

Tawaran Buat Malaysia

Jelas bahawa analisis dan cadangan yang disediakan dalam Paradigma Pulau Pinang bukan semata-mata eksklusif untuk negeri ini saja – kerana dasar yang memanfaatkan Pulau Pinang pasti juga akan memanfaatkan Malaysia, memandangkan Pulau Pinang adalah penyumbang hampir setengah jumlah eksport barangan elektrik dan elektronik serta 9% KDNK negara.

Oleh yang demikian, Penang Institute mengambil keputusan melancarkan Paradigma Pulau Pinang di Kuala Lumpur juga, bukan saja untuk berkongsi pelan pembangunan ini, tetapi juga untuk mendapat maklum balas daripada semua bagi memperhalusi lagi pelan terbabit. Jelas, jika lebih banyak khalayak dan kumpulan awam berkepentingan dapat dilibatkan, sesuatu dasar itu akan menjadi lebih demokratik dan benar-benar mencerminkan hasrat dan kemahuan masyarakat terbanyak. Jika bukan kerana kekangan kewangan dan logistik, pastinya Paradigma Pulau Pinang ini akan melakukan jelajah di setiap negeri. Maka dengan segala keterbatasan ini, Penang Institute dengan rendah hati menawarkan Paradigma Pulau Pinang untuk Malaysia.

Haris Zuan ialah Pegawai Eksekutif, Penang Institute